link : Penggiat Industri Teh Guizhou Manfaatkan Inisiatif Obor
Penggiat Industri Teh Guizhou Manfaatkan Inisiatif Obor
KUALA LUMPUR – Wilayah Guizhou terkenal dengan teh berkualiti premium dan penggiat industrinya digesa supaya memanfaatkan inisiatif Satu Jajaran, Satu Laluan (OBOR) oleh kerajaan China bagi memastikan kedudukan mereka terus diiktiraf di peringkat dunia dan republik itu sendiri.
Kawasan penanaman teh di Guizhou adalah kira-kira 464,000 hektar, yang merupakan terbesar di China.
Wilayah yang terletak di barat daya China itu terkenal dengan teh hijau ‘Cuiya’, hasil bumi daerah Meitan yang berkualiti selain teh hijau ‘Fenggang’ yang kaya dengan selenium dan zink yang dipetik di daerah Fenggang.
Oleh itu, tidak hairanlah Meitan menempatkan Monumen Teko Teh Terbesar Dunia yang dibina pada 2010 di atas puncak tinggi dan kini sedang mengalami pengubahsuaian untuk memberi kemudahan kepada pengunjung.
Bereka bentuk teko tanah liat dan di sampingnya adalah binaan berbentuk cawan kecil, ia yang mempunyai ketinggian 73.8 meter dan merangkumi lebih 5,000 meter persegi bukaan lantai juga merupakan muzium teh dan hotel untuk penginapan pengunjung.
Antara jenama teh Guizhou yang terkenal ialah “Emerail” oleh Guitea Company, “Lanxin” diperkenalkan oleh Guizhou Meitan Lanxin Tea Co Ltd, “Gaoyuanchunxue” oleh Guizhou Gaoyuanchunxue Organic Tea Industry Co Ltd manakala Qinyuanchun Tea Company mempunyai jenama “Chang Xiang Shou” yang membawa maksud, “Sentiasa Bersama-sama”.
Kebanyakan syarikat teh di Guizhou, khususnya di daerah Meitan dan Fenggang, mereka bernaung di bawah organisasi, persatuan atau perkongsian, seperti Guizhou Tea Alliance yang mempunyai 80 syarikat.
Oleh itu, menurut Gabenor Guizhou, Sun Zhigang, OBOR akan memacu peningkatan eksport produk teh dari wilayah itu kepada pasaran luar negara.
“Kita juga perlu melaksanakan misi promosi dan aktiviti pemasaran di pasaran pelanggan yang disasarkan, dan pada masa sama, langkah itu akan meningkatkan nilai pengeluaran keseluruhan industri teh Guizhou,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Ekspo dan Festival Budaya Teh Global Guizhou China 2017 yang berlangsung di daerah Meitan.
Beliau berkata, untuk menjadi teras penting kepada industri teh China, Guizhou perlu mengekalkan pertumbuhan industri teh pada kadar kasar tahunan 20 peratus, yang direkodkan sejak 10 tahun lepas.
Sun optimis terhadap mana-mana usaha sama untuk mempertingkatkan penjenamaan teh Guizhou, dan menambah, langkah itu akan membawa lebih banyak pengiktirafan kepada teh Guizhou selain mempelbagaikan kategori dan portfolio produk teh wilayah itu.
“Menerusi pelaksanaan usaha sama, saya yakin pengeluar teh di Guizhou akan menjadi lebih terkenal di peringkat domestik dan luar negara,” katanya.
Teh Guizhou, terutama dari daerah Meitan dan Fenggang, terkenal dengan kualiti terbaiknya memandangkan ia ditanam secara organik dalam persekitaran tidak tercemar, udara bersih, bebas racun serangga dan kimia.
Teh itu dipetik dari kawasan bentuk muka bumi berbukit-bukau, dilitupi kabus pada hampir kebanyakan masa, menerima kadar hujan yang tinggi dan yang paling istimewa tanahnya yang sangat subur.
Tambahan pula, kitaran pertumbuhan teh hijau di Guizhou yang agak perlahan memandangkan wilayah itu berada di kedudukan altitud tinggi, pada masa sama tempoh pertumbuhan teh yang lebih pendek di wilayah-wilayah lain di China memberi hasil yang tinggi.
Memandangkan tempoh pertumbuhan yang lebih lama, teh di Guizhou menyerap lebih banyak khasiat sekali gus menjadikan teh hasil bumi wilayah itu berkualiti premium.
Daun-daun tehnya mempunyai ciri warna hijau yang lebih gelap serta berkafein tinggi dan kurang tanin – rasa pahit organik berwarna kekuningan atau kecoklat-coklatan.
Meijiang Cuipian atau Meitan Cuiya — teh hijau yang paling mahal dan berkualiti tinggi dari wilayah Meitan, dikutip pada masa Festival Perbersihan Kubur China yang jatuh pada awal April.
Daun teh juga dikutip pada masa lain sepanjang tahun tetapi kualitinya tidaklah setinggi seperti awal musim bunga.
Daun teh tersebut dibiarkan kering dalam teduhan kira-kira tiga hingga lima jam sebelum diproses bagi membolehkan sedikit proses oksidasi, yang menyebabkan teh itu mempunyai warna kehijauan dan rasa lembut dengan sedikit kemanisan.
Sementara itu, Presiden Institut Penyelidikan Teh Antarabangsa, Zhuo Guo Fu berkata, Guizhou adalah kawasan teras habitat serantau tanaman teh dan penemuan biji teh berusia jutaan tahun telah memperkenalkan Guizhou kepada komuniti teh dunia dan China.
Sejak 10 tahun lalu, katanya, dengan sokongan kerajaan China, industri teh Guizhou telah menyaksikan pembangunan pesat.
“Pada 2016, volum pengeluaran teh telah mencecah 284 tan metrik bernilai 29.98 bilion renminbi. Pengeluaran tersebut telah dapat mengurangkan kemiskinan dan memakmurkan seluruh kawasan Guizhou,” katanya.
Zhou berkata, kawasan ladang teh Guizhou mendapat ranking pertama di China untuk empat tahun berturut-turut.
“Teh hijau Guizhou juga adalah produk teh pertama diberikan petunjuk geografi produk agro oleh Kementerian Pertanian China,” katanya.
Kerajaan Guizhou juga memberi penekanan ke atas pembangunan perladangan berskala besar serta kawalan kualiti, di samping lebih banyak usaha dalam mencegah pencemaran dengan melarang penggunaan 63 jenis racun serangga di ladang teh di wilayah tersebut.
“Selain itu, kami juga menggalakkan kebersihan dan menyeragamkan pengeluaran teh melalui proses selamat eko dan bebas pencemaran,” tambahnya.
Menurut satu laporan berita oleh Agensi Berita Xinhua, Guizhou mengeksport 598.7 tan metrik teh pada 2015, iaitu 307.8 tan metrik lebih tinggi berbanding 2014 — dengan nilai keseluruhan US$36.47 juta, berdasarkan data diberikan Biro Pemeriksaan Keluar-Masuk dan Kuarantin Guizhou .
Teh Guizhou dieksport ke 11 negara dan rantau, temasuk Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Arab Saudi dan Vietnam.
Sementara itu, Festival Budaya Teh Global dan Ekspo Teh Guizhou China 2017 yang diadakan di Pusat Konvensyen Ekspo Teh Meitan pada akhir April menjadi satu platform bagi membincangkan pembangunan masa depan industri teh dan kerjasama antara penggiat teh China serta asing.
Ia dianjurkan secara bersama oleh Kerajaaan Rakyat Wilayah Guizhou, Institut Kebudayaan Teh Antarabangsa China serta Persatuan Pemasaran Teh China. – BERNAMA
Loading...
malaysiaway.blogspot.com
Demikianlah Artikel Penggiat Industri Teh Guizhou Manfaatkan Inisiatif Obor
Anda sekarang membaca artikel Penggiat Industri Teh Guizhou Manfaatkan Inisiatif Obor dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/05/penggiat-industri-teh-guizhou.html