link : ISAM Peroleh Suntikan Semangat Daripada BMW
ISAM Peroleh Suntikan Semangat Daripada BMW
PUTRAJAYA – Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) hari ini menerima suntikan semangat daripada pengeluar kenderaan premium, BMW dalam persediaan menghadapi Sukan SEA, Ogos ini.
“Kerjasama ini berdasarkan kepada kepercayaan pihak BMW terhadap atlet kita. Mereka percaya dengan potensi atlet-atlet di bawah ISAM yang mampu berjaya di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Kami (ISAM) yakin sokongan daripada syarikat besar seperti BMW akan membantu memberi motivasi kepada atlet untuk terus mencipta kejayaan pada masa hadapan,” kata presidennya, Mohamad Fadzli Johan kepada pemberita selepas majlis mengumumkan kerjasama itu di lobi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BMW Malaysia, Han Sang Yun dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Nik Abd Kadir Nik Mohammad.
“Melalui kerjasama dengan ISAM, kami berharap bukan sahaja dapat meningkatkan profil sukan di Malaysia, tetapi juga untuk memberi sokongan kepada pasukan Malaysia pada Sukan SEA akan datang, dalam usaha mereka untuk layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan pada 2018,” kata Han dalam ucapannya pada majlis berkenaan.
Melalui komitmen BMW itu, mereka akan menaja sut kulit serta topi keledar keselamatan untuk skuad elit luncur ais laju jarak pendek, selain menaja kos latihan selama empat bulan di Korea Selatan bermula Mei lepas.
Syarikat berkenaan juga akan menaja kejohanan pra-Sukan SEA untuk acara luncur ais yang dijadual berlangsung pada 13 hingga 16 Julai ini.
Mohamad Fadzil berkata latihan di Korea Selatan itu melibatkan tujuh atlet, masing-masing enam daripada acara luncur ais laju jarak pendek dan seorang lagi dalam acara luncur ais.
Mereka ialah Ariff Rasydan, Ameer Iman, Anja Chong, Ashley Chin, Nor Marissa Alia dan Hazim Shahrom serta Chew Kai Xiang.
“Selain berlatih di bawah kendalian beberapa bekas peluncur ais Olimpik Korea Selatan, mereka juga menyertai beberapa kejohanan dalaman dan daerah di sana.
“Baru-baru ini di Terbuka Busan, mereka berjaya meraih pingat emas dalam acara 1,000 dan 500 meter,” katanya.
Pingat emas diperoleh menerusi Ameer Iman dalam acara 1,000m manakala Ariff Rasydan dalam acara 500m.
Mengenai sasaran pingat di Sukan SEA Kuala Lumpur, Mohamad Fadzli berkata ISAM yakin dapat meraih tiga pingat emas dalam acara yang pertama kali dipertandingkan pada temasya sukan dwitahunan itu.
“Tiga pingat emas ini adalah sasaran utama kami. Salah satu pingat adalah melalui Julian Yee dan dua lagi dalam acara berganti-ganti.
“Pasukan berganti-ganti kita kuat kerana mereka berada di ranking keempat Asia semasa beraksi di temasya Sukan Musim Sejuk Asia di Sapporo, Jepun (Februari lepas). Jika meraih lebih daripada apa yang disasarkan, ia satu bonus,” katanya.
– BERNAMA
Loading...
Demikianlah Artikel ISAM Peroleh Suntikan Semangat Daripada BMW
Anda sekarang membaca artikel ISAM Peroleh Suntikan Semangat Daripada BMW dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/06/isam-peroleh-suntikan-semangat-daripada.html