link : Penari jalanan ke dunia lakonan
Penari jalanan ke dunia lakonan
BIARPUN sudah menyertai industri seni sejak 1998, namun nama Sofia Boutella masih belum kukuh di persada seperti beberapa aktres Hollywood lain.
Barangkali kerana penglibatan asalnya sebagai penari dan model, kelibat Boutella hanya mula disedari tatkala dia membintangi filem StreetDance 2 pada 2012 sebagai Eva.
Mendekati wanita berusia 35 tahun ini, Boutella yang berasal daripada Algeria sebenarnya seorang penari jalanan yang hebat sehingga pernah dipilih untuk kempen Nike.
Dari situ, Boutella mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan dan pernah tampil dalam beberapa filem seperti Monsters: Dark Continent (2014), Kingsman: The Secret Service (2015), pejuang makhluk asing bernama Jaylah dalam Star Trek Beyond (2016).
Cintanya terhadap dunia seni sudah tersemai sejak kecil dan bakatnya diwarisi daripada bapanya, Safy Boutella, seorang pemuzik jazz.
“Sejak usia lima tahun, saya sudah menyertai kelas tarian klasik dan apabila kami sekeluarga berpindah ke Perancis ketika saya berusia 10 tahun, saya teruskan dengan kelas gimnastik berirama,” katanya yang pernah menyertai kumpulan kebangsaan Perancis ketika berusia 18 tahun.
Dari situ, katanya, dia mula berjinak-jinak dengan tarian hip hop dan tarian jalanan sehingga menyertai kumpulan Vagabond Crew yang membawa mereka menyertai pertandingan Battle of the Year pada 2006 dan bergelar juara.
Boutella berkata, dek sering bergerak aktif di dalam dunia tarian, dia mula menyertai beberapa program TV, filem, iklan dan konsert jelajah sebagai penari.
Lebih membanggakan, Jamie King memilihnya sebagai penari bagi kempen Nike pada 2007 sehingga dia berpeluang mengikuti Madonna dan Rihanna dalam konsert besar dua artis popular itu.
Melihat seni itu tidak terarah pada bidang tarian semata-mata membuatkan Boutella melebarkan sayap sebagai pelakon walaupun hanya memegang watak kecil.
“Saya tidak mahu untuk terus berada di atas dan akhirnya saya tampil dengan sia-sia. Jadi masa yang ada ini saya ambil sebagai tempoh belajar dan apabila orang nampak saya, mereka nampak bakat saya,” jelasnya.
Mumia wanita pertama
Kesabarannya membuahkan hasil apabila dia terpilih sebagai watak mumia wanita pertama dalam sejarah pembikinan filem Mummy sejak filem itu diterbitkan 85 tahun lalu.
Menceritakan karakternya, Boutella berkata, dia memegang watak antagonis sebagai Puteri Ahmanet atau The Mummy yang berdendam setelah ditanam hidup-hidup.
Mengakui bukan mudah membawa watak mumia kerana menganggap tidak boleh sewenang-wenangnya berjalan untuk menakutkan orang.
“Mesti ada sesuatu yang signifikan untuk berbuat demikian dan ia memberi inspirasi kepada saya untuk menterjemahkan watak Puteri Ahmanet.
Tambah Boutella, bagi memberikan lakonan yang berkesan, dia menonton filem pertama The Mummy yang diterbitkan pada 1932 dan membuat beberapa kajian mengenai Mesir yang banyak membantu mencorakkan karakter Ahmanet.
Ditanya perasaannya apabila menjayakan babak dikebumikan, Boutella berkata, dia hampir menjadi individu yang claustrophobia (takut berada di tempat sempit dan tertutup).
“Saya tidak boleh bergerak langsung apabila mereka mula membalut saya dan meletakkan saya di dalam keranda.
“Sejujurnya saya cemas, lemas dan tak pernah rasa begitu sebelum ini. Ia seperti benar-benar berlaku,” katanya sambil ketawa mengingati babak tersebut.
The post Penari jalanan ke dunia lakonan appeared first on Berita Viral.
malaysiaway.blogspot.comDemikianlah Artikel Penari jalanan ke dunia lakonan
Anda sekarang membaca artikel Penari jalanan ke dunia lakonan dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/06/penari-jalanan-ke-dunia-lakonan.html