link : Sebelum Pulang Beraya, Apa Kata Jumpa PUSPAKOM Dulu
Sebelum Pulang Beraya, Apa Kata Jumpa PUSPAKOM Dulu
Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Persendirian Sukarela atau Voluntary Vehicle Inspection (VVI) secara percuma mulai 13 Jun sehingga 23 Jun ini di pusat pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM. (Gambar: PUSPAKOM - Facebook)
Kementerian Pengangkutan menjangkakan aliran trafik keluar dari ibu kota akan mengalami peningkatan sehingga 1.6 juta kenderaan sepanjang sambutan musim perayaan Aidilfitri seperti mana berlaku pada setiap tahun.
Di sebalik kegirangan umat Islam pulang beraya ke kampung halaman masing-masing, apa yang tidak sedap didengar adalah berita kemalangan yang berlaku sepanjang Aidilfitri. Pada tahun 2015 menyaksikan sebanyak 20,458 kemalangan jalan raya berlaku melibatkan 330 kematian yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya hanya dalam tempoh 11 hari semasa sambutan Aidilfitri pada tahun lalu sebanyak 203 kes daripada 15,524 kemalangan yang dicatatkan. Berdasarkan jumlah kemalangan pada tahun sebelum ini, ia sekali gus menimbulkan kebimbangan ramai pihak mengenai kadar kemalangan jalan raya termasuk membabitkan kematian yang bakal direkodkan tahun ini.
Statistik kemalangan tertinggi sewaktu sambutan Aidilfitri mengikut negeri dari 29 Jun sehingga 9 Julai 2016:
- Selangor sebanyak 4.064 kes
- Johor sebanyak 2,351 kes
- Kuala Lumpur sebanyak 1,707 kes
- Perak sebanyak 1,298 kes
- Pulau Pinang sebanyak 1,146
APA KOMEN MENTERI PENGANGKUTAN
Isu kemalangan jalan raya di Malaysia sememangnya agak membimbangkan seperti yang pernah diperkatakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Berdasarkan statistik Kementerian Pengangkutan, angka kematian disebabkan kemalangan jalan raya secara purata di Malaysia adalah 19 orang setiap hari.
Pelbagai kempen jalan raya dijalankan termasuk khidmat nasihat diberikan menerusi pelbagai medium tetapi kadar kemalangan dan kematian terus berlaku dengan lebih daripada 6,000 kematian direkodkan setiap tahun sejak 10 tahun lepas.
Berdasarkan statistik, secara keseluruhan kemalangan jalan raya sepanjang tahun 2015 meningkat kepada 489,606 berbanding 476,196 tahun 2014. Jumlah kematian juga menunjukkan peningkatan bagi tahun 2015 dengan 6,706 kematian berbanding 6,674 pada tahun 2014 dan 60 peratus daripadanya melibatkan pengguna motosikal.
"Walaupun dengan pelbagai usaha advokasi dan kempen keselamatan jalan raya, statistik yang telah dikongsikan itu tidak mencerminkan perubahan yang diinginkan. Saya terus menekankan bahawa seiring dengan usaha yang diterajui oleh kerajaan, kejayaan keselamatan jalan raya tetap bergantung kepada pengguna sendiri," katanya.
PUNCA KEMALANGAN
Tiga faktor utama yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya adalah sikap pemandu, keadaan jalan raya dan keadaan kenderaan yang digunakan. Sikap mementingkan diri sendiri menyebabkan pemandu yang tidak bersalah menjadi korban di jalan raya, contohnya pengunaan telefon bimbit sewaktu memandu, tidak mematuhi lampu isyarat dan banyak lagi.
Kemalangan yang disebabkan keadaan jalan raya seperti jalan berlubang atau jalan menjadi licin disebabkan hujan manakala keadaan kenderaan boleh juga menyumbang kepada kemalangan jalan raya. Sebagai contoh kerosakan pada brek kenderaan, lampu isyarat tidak berfungsi atau enjin kenderaan mengalami kerosakan secara tiba-tiba sewaktu memandu.
PUSPAKOM PRIHATIN
Menyedari faktor yang menyumbang kepada kadar kemalangan jalan raya disebabkan keadaan kenderaan, syarikat pemeriksaan kenderaan Puspakom Sdn. Bhd. (PUSPAKOM) mengambil inisiatif melancarkan kempen #drivesafenoregrets.
Kempen ini menawarkan perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Persendirian Sukarela atau Voluntary Vehicle Inspection (VVI) secara percuma mulai 13 Jun sehingga 23 Jun ini di pusat pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM.
Tujuan kempen #drivesafenoregrets ini adalah meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pemanduan berhemah dan juga menggalakkan pemilik kenderaan memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan selamat sewaktu menyambut Aidilfitri.
Pemeriksaan percuma ini akan dijalankan di semua pusat pemeriksaan PUSPAKOM kecuali di Shah Alam, Taman Bukit Maluri, Mak Mandin dan Kota Bharu yang dikhaskan untuk pemeriksaan kenderaan perdagangan sahaja.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail berkata, pemeriksaan ini merangkumi 25 peringkat ujian secara menyeluruh termasuk ujian pengeluaran asap, gelincir sisi, suspensi, ketelusan cahaya cermin, brek serta lampu.
Laporan pemeriksanan ini akan dikeluarkan sejurus pemeriksaan kenderaan dijalankan dan laporan ini boleh digunakan pemilik untuk mengetahui keadaan kenderaan mereka dan mengesan sebarang kerosakan. Pemilik kenderaan seterusnya boleh melakukan pembaikan dan penyelenggaraan sewajarnya.
“Pada musim perayaan yang sama pada tahun lepas, PUSPAKOM memeriksa sejumlah 3,000 kenderaan. Melalui kempen #drivesafenoregrets ini, PUSPAKOM menyasarkan peningkatan sebanyak 10 peratus jumlah pemeriksaan kenderaan pada tahun ini," katanya.
Kempen ini bermula dari 8 pagi sehingga 5 petang setiap hari (tertakluk kepada waktu operasi setiap cawangan di negeri berlainan) tanpa perlu membuat sebarang temujanji.
"Sempena kempen ini, PUSPAKOM juga menganjurkan Pertandingan #drivesafenoregrets 'Write Caption & Win', di mana para pelanggan berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan.
"Para pelanggan hanya perlu hadir menjalani pemeriksaan VVI dengan menghantar kapsyen gambar melalui “private message” di Facebook PUSPAKOM. Pemenang Hadiah Super Grand Prize akan ditentukan berdasarkan jumlah 'Like' tertinggi dan juga komen kapsyen yang paling kreatif," katanya.
malaysiaway.blogspot.comDemikianlah Artikel Sebelum Pulang Beraya, Apa Kata Jumpa PUSPAKOM Dulu
Anda sekarang membaca artikel Sebelum Pulang Beraya, Apa Kata Jumpa PUSPAKOM Dulu dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/06/sebelum-pulang-beraya-apa-kata-jumpa.html