link : Wanita Ini Bersyukur & Hargai ‘Harta’ Dengan Cara Yang Berbeza, Kita Sendiri Mampu?
Wanita Ini Bersyukur & Hargai ‘Harta’ Dengan Cara Yang Berbeza, Kita Sendiri Mampu?
ALHAMDULILLAH. Sehingga saat saya menulis ini, kekayaan saya tidak terluak. Masih kekal sifatnya. Ada ketika bertambah-tambah kerana saya menemui kekayaan baru. Saya tidak pernah minta tetapi ia datang dari Allah SWT. Apa saja pemberian dari Allah, sebagai hambaNya yang kerdil saya mengucapkan rasa syukur yang bukan sedikit.
Saya percaya, tidak semua orang kaya seperti saya. Ada yang sudah menyusut hartanya. Ada yang mulai berkurang biar belum menyusut dan ada juga yang mempunyai harta namun dihabiskan ke tempat tidak sepatutnya.
Kenapa saya bicara soal kaya? Bukan hendak tunjuk saya banyak harta tetapi saya begitu bersyukur dengan harta yang Allah limpahkan ini kepada saya. Allah masih memberi saya nafas untuk saya menikmati kekayaan yang bukan sedikit ini. Bahkan, jujurnya, saya sangat menjaga harta-harta saya ini malah saya sanggup mempertahankan nyawa jika harta saya cuba dirampas orang. Lain kalau Allah mengambilnya semula, itu saya redha. Namun saya tidak redha jika ia cuba dirosakkan oleh orang lain dan akan berbuat apa saja demi harta-harta ini.
Bagi yang pernah mengikuti tulisan saya, juga mungkin membacanya, harta yang membolehkan saya kaya raya ini ialah bukan harta dunia seperti wang ringgit, emas berlian, rumah mewah, kereta mahal atau sebagainya tetapi saya kaya kerana sehingga ke saat ini, saya masih punya mak ayah yang sihat tubuh badannya. Saya punya abang, kakak dan adik dengan masing-masing sudah berkeluarga.
Saya juga punya suami yang tidak pernah sekali pun menaikkan tangannya ke tubuh saya sepanjang 21 tahun kami berkahwin. Suami yang sangat bertanggungjawab kepada agamanya, anak-anaknya dan seluruh ahli keluarganya. Allah juga meminjamkan saya harta sementara iaitu anak-anak yang sihat tubuh badannya, tidak ada masalah untuk saya membesarkan mereka dan paling bersyukur kerana saya punya kawan baik yang sentiasa memberikan pandangan di saat saya memerlukan dirinya. Bukankah itu menjadikan saya insan yang sangat kaya di dunia ini? Ya insan yang cukup kaya berbanding dengan orang lain yang mungkin Allah sudah menguji lebih awal dengan menarik kekayaan mereka itu biarpun di hati mereka sangat menyayangi kekayaan itu. (Al Fatihah buat yang tiada dan semoga syurga Allah tempatnya buat semua insan-insan kesayangan Allah yang sudah meninggal dunia).
Ya Allah, sebagai hambamu yang kerdil, terima kasih ya Allah dengan kurniaan rezeki ini yang tidak pernah kau tarik lagi nikmatNya. Sebab itulah saya selalu menundukkan diri dan hati untuk terus bersyukur dengan nikmat kurniaan ini.
Andai anda tidak sekaya saya, kekayaan itu boleh kita pinjam dari suami dan adik beradik. Maksud saya di sini, kalau mak ayah kita sudah tiada, andai diri suami masih punya mak ayahnya, pinjamlah kekayaan suami itu demi kekayaan kita di dunia ini. Jangan takut untuk meminjam kekayaan orang lain kerana ruang hati ini sangat besar untuk dikongsikan bersama. Sebab itulah saya selalu mendidik hati saya untuk kekayaan ini dikongsi oleh orang lain bila mana saya berjumpa mereka secara sengaja dan tidak sengaja.
Kalau hendak diukur dengan harta dunia, harta kekayaan saya memang tidak dijual beli. Benar pada usia 40 tahun, saya sudah mulai “senang dengan harta dunia” kerana rumah yang saya beli bersama suami sudah tiada hutangnya. Dua tiga tahun kemudian, kesemua hutang-hutang lain sudah saya lunasi semua bayarannya dan saya gaji yang saya terima sekarang adalah gaji bersih. Tapi biar saya tiada hutang tetapi saya tidak berapa memandang harta dunia ini kerana di hati saya dipenuhi dengan kekayaan yang bukan sedikit Allah berikan.
Saya sering terbaca orang mengeluh tentang kehidupan, susah dan kesempitan tetapi mereka tidak memandang kekayaan sekeliling yang ada iaitu dengan kehadiran mak ayah, adik beradik, anak-anak dan rakan-rakan sebagai harta yang paling berharga.
Ya, itulah harta yang lebih berharga melebihi segala-galanya yang ada di dunia ini kerana apabila kita di Padang Masyar kelak, biar kita pernah menjadi suami isteri, biar kita punya anak di dunia, biar kita punya mak ayah tetapi di Padang Masyar kelak, kita akan keseorangan. Tidak ada lagi sesiapa di sekeliling kita kecuali ibadat, ilmu diamalkan dan sedekah yang kita berikan semasa hidup.
Ingat, kita akan keseorangan. Sebab itu, sepanjang hidup saya, saya mudah terkesan jika “harta-harta” saya ini disakiti atau diusik tanpa sebab biarpun itu lumrah di dunia. Bahkan saya sampai hairan kalau orang sengaja menyakiti hati harta-harta mereka ini kerana semasa di dunialah kita berkasih sayang kerana di akhirat nanti kita sudah tidak kenal satu sama lain. Jagalah harta kekayaan ini di dunia, bekali dengan ilmu sepatutnya supaya di akhirat nanti, harta-harta ini kekal bersama kita di syurga.
Sebagai insan kerdil, saya minta maaf andai ada penulisan saya yang salah, ada cara saya yang salah dan sebagainya, saya mohon diampunkan, dunia dan akhirat. Semoga harta kekayaan ini kekal bersama kita di syurga. Ingatlah, apa permulaannya tidak penting tetapi pengakhiran kehidupan itu sangat penting. Ada umur, kita berjumpa di penulisan lain.
Sumber
malaysiaway.blogspot.comDemikianlah Artikel Wanita Ini Bersyukur & Hargai ‘Harta’ Dengan Cara Yang Berbeza, Kita Sendiri Mampu?
Anda sekarang membaca artikel Wanita Ini Bersyukur & Hargai ‘Harta’ Dengan Cara Yang Berbeza, Kita Sendiri Mampu? dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/06/wanita-ini-bersyukur-hargai-harta.html