link : Adik dedah fikir 2-3 kali sebelum nak tegur Janna Nick takut tersalah ‘waktu’, ibu pun tak berani nak tegur
Adik dedah fikir 2-3 kali sebelum nak tegur Janna Nick takut tersalah ‘waktu’, ibu pun tak berani nak tegur
KETIKA dia berada di luar bersama rakan dan pekerja industri, personaliti Nurul Jannah Muner atau Janna Nick sangat ceria, sporting dan penuh dengan idea ‘gila’ seiring dengan usianya yang baru mencecah 22 tahun pada 1 Jun lalu.
Bagaimanapun keadaan itu bertentang sewaktu Janna bersama keluarganya. Janna digambarkan seorang yang sangat serius, pendiam dan gemar membuat hal sendiri. Nak mendengar Janna ketawa besar pun belum tentu dapat sebab dia selesa dalam keadaan pasif sebegitu jika berada di rumah.
Warna sebenar Janna ini didedahkan sendiri oleh adiknya, Nurul Balqis, 13, atau Kissya Nick. Selain menghormati Janna yang satu-satunya kakak kandung dunia dan akhirat, Kissya juga berbangga apabila menjadi adik kepada seorang pelakon muda yang sudah pun mencatatkan pencapaian tersendiri dalam bidang hiburan.
Atas sebab itu juga, Kissya sama sekali tidak akan melanggar ‘garisan’ privasi kakaknya itu sewaktu Janna berada di rumah. Hinggakan nak bertegur sapa pun, Kissya sangat berhati-hati walaupun mereka berdua tinggal sebumbung.
Ada kalanya Kissya perlu berfikir dua tiga kali sebelum menegur kakaknya. Bukan apa, bimbang dia tersalah waktu masa untuk menegur kakaknya itu yang bakal mengakibatkan rasa kurang senang di hati Janna nanti.
“Betul, angah (panggilan untuk Janna) di rumah tak sama seperti di luar. Kalau di rumah, dia serius, macam orang tengah berfikir. Nampak macam berehat tapi mungkin otak Angah tengah ligat berfikir pasal kerja.
“Kalau Angah membisu seribu bahasa, bukannya saya seorang, ibu pun tak berani nak tegur dia. Takut-takut kalau waktu sedang tegur itu mood Angah tiba-tiba bertukar ke apa? Siapa nak jawab tu.
“Sekalipun ada masalah tertentu, saya akan tunggu masa yang sesuai untuk buka mulut dan berbincang dengan Angah. Saya risau kalau Angah tak senang dengan topik yang dibangkitkan.
“Seboleh-bolehnya tunggu dia dalam mood baik. Bagi saya, masalah yang ada pada kami ini hanya bersifat dalaman saja. Masalah Angah mungkin lebih besar. Dia kan yang menanggung kami sekeluarga,” kata Kissya berhubung sifat kakaknya itu.
Dalam pada itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak, Selangor ini juga menyatakan rasa minat untuk mengikut jejak yang sama dalam bidang lakonan dengan kakaknya.
Sementelah pernah membawakan watak adik kepada Janna dalam drama Jodoh dan Dia Tetap Ayah, itu yang membuatkan Kissya teruja untuk berlakon dengan kakaknya itu dalam naskhah yang sama akan datang.
Bagaimanapun impian Kissya itu tidak mudah untuk direalisasikan memandangkan hingga ke hari ini dia masih belum mendapat ‘lampu hijau’ daripada Janna.
Bukan kerana bimbang populariti Kissya itu nanti bakal mengatasi Janna, keputusan berkenaan dibuat memandangkan komitmen Kissya sebagai pelajar dan perlu memberi fokus sepenuhnya dalam mata pelajaran.
“Kawan-kawan di sekolah ada yang mengenali saya sebagai adik Janna Nick. Nak kata saya glamor sebab angah tak juga, sebab di sekolah, macam biasa-biasa saja. Kalau mereka tahu saya adik Janna, tak ada apa yang nak dikecohkan pun.
“Jadi apabila ada antara mereka yang bertanya tentang hasrat saya untuk jadi seperti angah. Saya cuma cakap yang saya belum bersedia lagi. Nak jawab panjang-panjang, tidak juga sebab mereka tak tahu permasalahan sebenar.
“Sebenarnya saya sendiri tak berapa jelas dengan apa yang saya inginkan selepas tamat belajar nanti. Cuma sekarang ini adalah masa untuk saya memastikan kecemerlangan dalam pelajaran,” ujarnya lagi.
Korea, tunggu kami datang!
KESIBUKAN dengan rutin kerja sebagai anak seni menyebabkan kualiti masa Janna bersama keluarganya agak terhad. Bagaimanapun Janna tidak pernah lupa untuk menghabiskan masa dengan mereka setiap kali cuti sekolah menjelma.
Sekiranya pada tahun lalu, Janna memilih London sebagai destinasi percutian keluarga bagaimanapun berlainan pada hujung tahun ini. Kali ini destinasi mereka adalah Seoul, Korea.
Pemilihan itu dibuat kerana Janna mahukan suasana yang baharu untuk kesemua keluarga di samping mahu melawat beberapa destinasi menarik yang menjadi tumpuan pelancong seperti Pulau Nami dan Namsan.
“Selalunya kami akan berbincang sebelum memilih destinasi percutian. Kena bentang beberapa destinasi yang berpotensi, selepas itu saya kena kira bajet untuk seluruh keluarga saya.
“Berapa saja bajetnya, saya tak pernah berkira, bayar saja. Saya tahu mereka sudah banyak berkorban untuk saya. Jadi apalah sangat kalau saya berbelanja dan membahagiakan mereka.
“Hanya dengan cara itu, saya dapat memuaskan hati mereka. Lagipun semua itu berdasarkan kemampuan saya sendiri. Asalkan saya tidak membazir atau berlebih-lebih, itu sudah memadai,” katanya yang berhari raya di Sungai Petani, Kedah.
Tegas dengan adik-adik
SANGGUP berhabis-habisan demi keselesaan keluarga, Janna juga mengakui dia amat prihatin dalam bab kewangan keluarga dan sentiasa memastikan kebajikan mereka sentiasa dijaga.
Sentiasa berkomunikasi dengan ibu yang lebih mesra dipanggil Mama Scha, Janna juga memastikan perihal Kissya dan adik bongsunya, Nur Iris Rose Sofea yang berusia dua tahun pada 30 Jun ini sentiasa dalam pemantauannya.
Oleh yang demikian, pendekatan tegas merupakan cara paling bijak dalam memastikan adik-adiknya itu sentiasa mematuhi peraturan dalam keluarga selain menghormati antara satu sama lain.
Sebagai kakak yang sudah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, Janna juga secara tidak langsung memikul tanggungjawab untuk menyara mereka. Jadi matlamat Janna kini adalah memastikan kesemua ahli keluarganya dalam keadaan teratur.
“Beza jarak usia antara saya dengan Kissya adalah sembilan tahun. Jadi mungkin kami ada pelbagai perselisihan pendapat. Atas sebab ini, saya selalu menasihati Kissya supaya jangan buat perangai, nanti terjejas nama baik keluarga.
“Sebagai gadis remaja dan baru nak kenal dunia, saya tak nak Kissya lupa diri atau larut dalam dunia glamor kakak dia sendiri. Tiba-tiba dia berlagak atau apa dengan kawan-kawan sekolah, itu yang membimbangkan saya.
“Sebab itu saya tak benarkan Kissya nak berlakon sewaktu sedang belajar ini. Biarlah dia habis belajar dulu. Kalau setakat nak berlakon main-main, baik tak payah. Buang masa saja.
“Kalau nak berlakon, betul-betul jadi pelakon. Kena bersungguh-sungguh berusaha, buat nama dan duit. Kalau dah betul-betul bersedia, barulah saya bagi restu sepenuhnya,” kata Janna.
Sumber: Utusan Online
Demikianlah Artikel Adik dedah fikir 2-3 kali sebelum nak tegur Janna Nick takut tersalah ‘waktu’, ibu pun tak berani nak tegur
Anda sekarang membaca artikel Adik dedah fikir 2-3 kali sebelum nak tegur Janna Nick takut tersalah ‘waktu’, ibu pun tak berani nak tegur dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/07/adik-dedah-fikir-2-3-kali-sebelum-nak.html