link : Iklim & Ekologi Di Perlis jadikan Harumanis Unik
Iklim & Ekologi Di Perlis jadikan Harumanis Unik
KANGAR – Apakah yang menjadikan Harumanis yang dihasilkan di Perlis begitu berbeza berbanding yang dihasilkan di tempat lain hingga ia menjadi satu daripada ikon Perlis?.
Pengarah Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Madya Dr Mahmad Nor Jaafar berkata, ini kerana proses penanaman mangga itu dibuat dengan ilmu pengetahuan yang tepat dan teliti demi menentukan hasilnya betul-betul ‘menjadi’.
Beliau berkata, satu lagi komponen penting dalam proses penanaman Harumanis ialah iklim dan ekologi semula jadi yang sesuai untuk menyokong penghasilan buah berkualiti tinggi, dan faktor ini hanya wujud di Perlis.
Bagi memastikan pokok mampu mengeluarkan bunga yang sihat, cuaca yang sangat panas dan kering sewaktu siang diperlukan secara berterusan selama tiga bulan tetapi perlu keadaan berangin sejuk pada sebelah malam.
“Bunga akan menjadi putik (tidak berbuah) sekiranya terdapat hujan yang kerap sepanjang tempoh berkenaan.
“Nisbah air dalam tanah haruslah seimbang dengan komposisi pH yang tepat untuk tumbesaran buah yang elok selain ia mesti dibalut.
“Setelah buah hampir matang, ia sekali lagi memerlukan pancaran terik matahari untuk memastikan penghasilan kadar kemanisan (gula) yang tinggi pada buah sebelum ia sesuai dipetik,” jelas Mahmad Nor dalam temu bual dengan Bernama.
Menurut beliau apabila buah dipetik pada masa yang salah atau belum cukup matang, ia akan menjejas tekstur isi selain rasanya menjadi masam, manakala jika cuaca lembap dan tiada pancaran matahari terik, kulit Harumanis mudah dijangkiti kulat, isinya rosak dan membusuk.
Beliau berkata memang ramai berminat mahu mengusahakan tanaman Harumanis, tetapi tidak banyak yang bersemangat mahu melakukannya dengan ilmu dan kaedah yang betul.
Malah kebelakangan ini turut timbul soal kualiti mangga itu yang merosot, berasa masam, tekstur isi berair dan busuk.
Tidak kurang juga yang ingin menanam Harumanis di tempat masing-masing agar tidak perlu membeli ketika harganya melambung, katanya.
“Tiada masalah untuk ditanam di mana sahaja. Cuma sama ada berbuah atau tidak? buahnya jadi atau tidak?. Perlu difahami tanam Harumanis bukanlah mudah… malah banyak faktor perlu diambil kira secara terperinci.
Pokok mangga ini tidak boleh ditanam sekadar untuk melihat pokok hidup dan berbuah lebat atau untuk pulangan lumayan, sebaliknya ia memerlukan penjagaan yang sangat rumit.
Penanam Harumanis terutama pengusaha secara komersial perlu mengeluarkan mangga yang menepati ciri-ciri sebenar Harumanis antaranya buah berbau harum, isi tebal warna oren kekuningan, tekstur serat halus serta rasanya sangat manis,” kata Mahmad Nor.
Justeru, para pengusaha Harumanis perlu sentiasa mempertingkat ilmu berkaitan, memenuhi setiap peraturan bagi menghasilkan Harumanis yang berkualiti tinggi agar menepati kehendak pasaran dalam dan luar negara, kata beliau. – BERNAMA
Loading...
Demikianlah Artikel Iklim & Ekologi Di Perlis jadikan Harumanis Unik
Anda sekarang membaca artikel Iklim & Ekologi Di Perlis jadikan Harumanis Unik dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/07/iklim-ekologi-di-perlis-jadikan.html