link : Patuh SOP Sebelum Wartakan Mukim Matang Bebas Rabies
Patuh SOP Sebelum Wartakan Mukim Matang Bebas Rabies
IPOH – Perak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri sebelum mewartakan mukim Matang dalam daerah Larut Matang dan Selama sebagai kawasan bebas penyakit anjing gila atau Rabies.
Exco Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata antara langkah yang perlu dilaksanakan mengikut SOP itu adalah mengambil sampel daripada anjing.
“Jika keputusan sampel negatif, seterusnya tempoh masa inkubasi sebelum diwartakan sebagai kawasan bebas Rabies perlu dinilai secara teliti.
“Ini kerana tempoh inkubasi agak lama dan ia bergantung kepada keputusan sampel. Oleh itu, kita perlu menitikberatkan keputusan sampel itu sebelum membuat sesuatu keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kesihatan Negara-negara ASEAN mengenai Penjagaan Kesihatan Teras di sini, hari ini.
Isnin lepas, kerajaan negeri Perak mewartakan mukim Matang sebagai kawasan jangkitan Rabies berkuat kuasa serta merta mengikut Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila.
Tindakan itu dibuat susulan kematian seekor anjing akibat Rabies pada 12 Julai lepas, sembilan hari selepas menggigit dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur 11 dan 12 tahun di Kuala Sepetang.
Selain itu, Dr Mah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Rabies Perak berkata sehingga kini tiada individu yang dilaporkan dijangkiti wabak Rabies di negeri itu.
“Kita mengambil langkah yang cukup proaktif bagi memastikan kawalan jangkitan dan tiada penularan Rabies dalam kalangan manusia dan haiwan,” katanya.
Sementara itu, JPV Perak dalam kenyataannya memaklumkan jika kesemua sampel yang diambil dalam lingkungan satu kilometer radius didapati negatif daripada virus Rabies, pihaknya akan melakukan sistem survelan (pengawasan) sepanjang 10 kilometer.
Menurut kenyataan itu, pewartaan kawasan bebas penyakit Rabies boleh dilaksanakan dengan syarat keputusan ujian sampel adalah negatif namun keputusan itu perlu dilakukan oleh ibu pejabat JPV di Putrajaya. – BERNAMA
Loading...
Demikianlah Artikel Patuh SOP Sebelum Wartakan Mukim Matang Bebas Rabies
Anda sekarang membaca artikel Patuh SOP Sebelum Wartakan Mukim Matang Bebas Rabies dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/07/patuh-sop-sebelum-wartakan-mukim-matang.html