link : ‘Sabah Saidi 100 Lab’ Dilancar Cari Penyelesaian Masalah Elektrik
‘Sabah Saidi 100 Lab’ Dilancar Cari Penyelesaian Masalah Elektrik
KOTA KINABALU – Sebuah makmal khas dilancarkan hari ini bagi merangka pelan yang strategik dan praktikal bagi memastikan Sistem Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) di Sabah menurun kepada 100 minit menjelang 2020.
Dikenali sebagai ‘Sabah SAIDI 100 Lab’, ia adalah kerjasama antara Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Pemandu Associates Sdn Bhd (Pemandu) yang juga menyasarkan untuk menyediakan penjanaan kuasa yang berkualiti.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili semasa melancarkan makmal itu berkata setakat ini kira-kira RM17.7 bilion telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan bekalan elektrik di Sabah.
“Antaranya ialah menubuhkan Pasukan Petugas Bekalan Elektrik Sabah bagi melaksanakan kerja menaik taraf bekalan elektrik di negeri ini dan kira-kira RM713 juta dan RM2.3 bilion masing-masing diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11 bagi melaksanakan projek itu,” katanya.
Tambahan pula, beliau berkata RM3.21 bilion diperuntukkan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd sejak 2001 bagi menaik taraf pembangunan prasarana bekalan elektrik negeri, selain daripada menyalurkan RM7.1 bilion bagi subsidi bahan api untuk pengagihan tenaga elektrik sejak 2004 sehingga tahun ini.
Ongkili juga berkata RM2.63 bilion diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan RM1.768 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 untuk pembangunan projek.
Beliau berkata penurunan SAIDI yang ketara direkodkan beberapa tahun sebelum ini daripada 2,868 minit pada 2009 kepada 311 minit tahun lepas, menurun 89 peratus.
“Menurunkan SAIDI negeri bukan satu usaha yang mudah, terutamanya cabaran yang terpaksa dihadapi seperti kebergantungan tinggi kepada janakuasa berkuasa diesel di timur Sabah, hubungan talian dan pengagihan tenaga elektrik yang tidak stabil, kecurian elektrik yang menyebabkan gangguan elektrik di Sandakan dan Tawau serta tarif elektrik yang rendah tidak menggambarkan kos sebenar pembekalan kuasa.
“Kami memerlukan langkah yang drastik dan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan dan Sabah , jika kami mahu memperbaiki keadaan.
Kami mempunyai bijak pandai untuk melakukan percambahan fikiran di dalam makmal bagi mengenal pasti idea baharu dan bukan konvensional untuk melakukan transformasi perkhidmatan elektrik di Sabah, selain daripada menghasilkan penyelesaian yang praktikal dan strategik untuk menyelesaikan masalah pengagihan tenaga elektrik di Sabah untuk selama-lamanya,” kata beliau.
Sebanyak 50 peserta, terdiri daripada pegawai dan pakar daripada 17 kementerian, jabatan, sektor swasta dan pihak berkepentingan dan berkaitan akan duduk bersama berkongsi pandangan dan idea mereka, termasuk input kritikal selama sebulan di makmal itu.
Turut hadir pada program pelancaran itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Seri Idris Jala. – BERNAMA
Loading...
Demikianlah Artikel ‘Sabah Saidi 100 Lab’ Dilancar Cari Penyelesaian Masalah Elektrik
Anda sekarang membaca artikel ‘Sabah Saidi 100 Lab’ Dilancar Cari Penyelesaian Masalah Elektrik dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/07/sabah-saidi-100-lab-dilancar-cari.html