link : SPAN Timbang Kuat Kuasa Peraturan Kosong Tangki Septik
SPAN Timbang Kuat Kuasa Peraturan Kosong Tangki Septik
CYBERJAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang melaksanakan kajian bagi menguatkuasakan Peraturan Pengosongan Tangki Septik berikutan kesedaran masyarakat terhadap keperluan pengosongan secara berkala tangki kumbahan itu yang masih rendah ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SPAN Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata antara perkara yang diberi tumpuan ialah perincian berkaitan hukuman, pelantikan konsesi atau kontraktor pembersihan dan kadar bayaran yang perlu dikenakan bagi perkhidmatan tersebut.
Beliau berkata ketika ini terdapat lebih daripada 1.3 juta tangki septik individu yang memberi perkhidmatan kepada 6.7 juta penduduk meliputi kawasan bandar dan taman di seluruh negara.
Namun, katanya, jumlah mereka yang mengosongkan tangki sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga tahun seperti ditetapkan masih rendah dan keadaan itu dipercayai berlaku selepas perkhidmatan pengosongan tangki septik oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dihentikan pada 1 Jan 2008.
“Sebenarnya Peraturan Pengosongan Tangki Septik telah ada sejak 2010 tetapi ia tidak dikuatkuasakan kerana tangki septik dianggap sebagai milik individu atau persendirian di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2008 yang membenarkan pemilik premis menyelenggara sendiri tangki kumbahan di premis masing-masing,” katanya kepada Bernama.
“Selepas mengambil kira kebergantungan kepada pemilik premis untuk mengosongkan tangki mengikut tempoh ditetapkan bukan suatu tindakan yang tepat dalam memastikan tangki septik diselenggara dengan sempurna, SPAN sedang mengadakan kajian bagi mengembalikan perkhidmatan penyelenggaraan kepada satu konsesi dengan kadar bayaran tertentu,” katanya.
Menurutnya, tangki septik individu merupakan tangki mendapan yang mempunyai ruang simpanan terhad dan direka untuk menerima air kumbahan dari tandas, bilik mandi, dapur dan mesin basuh dan jika pepejal yang mendap ke dasar tangki tidak dibuang secara berjadual, air kumbahan akan mengalir keluar dan mencemari parit serta longkang dan keadaan akan menjadi lebih berisiko jika bahan berbakteria itu dihanyutkan ke sungai berhampiran.
Beliau berkata semasa di bawah kendalian IWK, kadar bayaran bagi perkhidmatan pengosongan tangki septik berjadual ialah RM6 sebulan, manakala RM8 dikenakan bagi penyelenggaraan tangki sambungan.
Ditanya bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap pemilik premis yang tidak mengosongkan tangki septik secara berkala jika Peraturan Pengosongan Tangki Septik dikuatkuasakan, Mohd Ridhuan berkata pemilik boleh dikompaun atau didenda selain diarahkan membayar kos perkhidmatan menyedut kepada kontraktor yang ditugaskan oleh SPAN.
Beliau berkata Seksyen 65 (1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) menyatakan pemilik tangki septik individu perlu menyelenggara dan menjaga sistem itu dan kegagalan berbuat demikian boleh didenda tidak lebih RM50,000.
Akta dan seksyen sama juga memperuntukkan klausa yang menyatakan pemilik tangki septik yang kotor dan menjadi kacau ganggu atau berbahaya kepada kesihatan telah melakukan kesalahan yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan, katanya.
Mohd Radhuan berkata sebelum peraturan tersebut dikuatkuasakan, suruhanjaya itu telah bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) melaksanakan pelbagai program kesedaran mengenai kepentingan pengosongan tangki septik secara berkala dalam usaha meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan pengurusan sisa kumbahan dan pemuliharaan air.- BERNAMA
Loading...
Demikianlah Artikel SPAN Timbang Kuat Kuasa Peraturan Kosong Tangki Septik
Anda sekarang membaca artikel SPAN Timbang Kuat Kuasa Peraturan Kosong Tangki Septik dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/07/span-timbang-kuat-kuasa-peraturan.html