link : Sukan SEA: Skuad Bola Tampar Idam Lakar Kejutan
Sukan SEA: Skuad Bola Tampar Idam Lakar Kejutan
KUALA LUMPUR – Di atas kertas, kelebihan nyata berpihak kepada Thailand, Vietnam, Indonesia dan Myanmar untuk memburu kilauan pingat dalam acara bola tampar lelaki dan wanita pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, di sini, bulan depan.
Biarpun sedar bukan mudah untuk menyaingi Thailand mahupun Vietnam dalam memburu pingat emas pertama di pentas Sukan SEA, namun skuad negara bertekad mahu menamatkan kemarau pingat selama 16 tahun pada edisi kali ini.
Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), dalam pada itu, berharap kilauan pingat tanpa mengira warna mampu dijelmakan oleh barisan negara di laman sendiri selepas pasukan lelaki menghadiahkan pingat perak ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada 2001.
Sejak acara bola tampar diperkenalkan dalam Sukan SEA pada 1977, kedua-dua pasukan lelaki dan wanita negara hanya membawa pulang dua pingat iaitu pingat gangsa oleh skuad wanita pada edisi 1983 di Singapura dan perak oleh skuad lelaki pada edisi 2001.
Walaupun bukan pasukan pilihan, Malaysia berjanji tidak akan menjadi ‘pasukan belasahan’ memandangkan persiapan rapi serta prestasi yang ditampilkan oleh barisan pemain semakin menyakinkan.
Pengurus pasukan wanita, Yean Lai Haw berkata pencapaian membanggakan anak buahnya dalam Kejohanan Jemputan Sukan Wanita di Singapura Januari lalu, apabila muncul johan selepas menewaskan pasukan tuan rumah, Singapura, menaikkan lagi moral setiap pemain untuk mencipta sejarah di laman sendiri.
“Ia perkembangan yang sangat positif, saya mengharapkan semua pemain mampu meneruskan prestasi cemerlang mereka dengan menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk berdepan pasukan lawan nanti,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif MAVA di sini, hari ini.
Anak buah Lai Haw turut mencipta sejarah pada Kejohanan Asia Bawah 23 tahun di Thailand, Mei lalu, apabila berjaya menewaskan gergasi Asia, Iran, pada perlawanan klasifikasi 7/8 dan berjaya menduduki tempat ketujuh daripada 13 negara yang bertanding.
Sementara itu, bagi pasukan lelaki pula, pengurusnya, Hanif Basree Abdul Rahman menjangkakan pertembungan yang sengiti dengan memerlukan kemenangan ke atas Myanmar dan Kemboja seandainya ingin melangkah ke peringkat seterusnya.
“Kita berada dalam kumpulan B bersama Thailand, Myanmar dan Kemboja. Ini bermakna kita harus menang dua perlawanan untuk melangkah ke pusingan seterusnya dan kita sasarkan Myanmar dan Kemboja.
“Saya optimis dengan kehadiran muka-muka baharu dalam pasukan, skuad lelaki mampu menghasilkan kejutan sekali gus menyumbang pingat buat kontingen negara,” katanya. – BERNAMA
Loading...
Demikianlah Artikel Sukan SEA: Skuad Bola Tampar Idam Lakar Kejutan
Anda sekarang membaca artikel Sukan SEA: Skuad Bola Tampar Idam Lakar Kejutan dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/07/sukan-sea-skuad-bola-tampar-idam-lakar.html