link : Tidak Capai KPI, Pemain Berdepan Penyingkiran
Tidak Capai KPI, Pemain Berdepan Penyingkiran
KUALA LUMPUR- Pemain perseorangan lelaki negara berdepan tindakan disingkirkan sekiranya gagal mempamerkan prestasi konsisten, kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.
Beliau berkata di bawah sistem kejurulatihan baharu yang diketuai Datuk Misbun Sidek, tiada lagi jaminan pemain itu akan kekal jika mereka tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
“Saya telah beritahu kepada semua pemain dengan bermulanya sistem kejurulatihan baharu ini, ia merupakan permulaan dan mungkin juga pengakhiran kepada karier sesetengah pemain. Jadi tepuk dada, tanya selera.
“Kita akan meletakkan KPI tertentu. Ramai pemain di luar sana yang menunggu (untuk menyertai BAM) sekiranya mereka gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemain dan jurulatih di Akademi Badminton Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata tiada lagi alasan untuk pemain tidak mencapai KPI yang ditetapkan selepas BAM menyediakan kemudahan latihan menyeluruh dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain perseorangan bertaraf dunia.
“Kita menyediakan kepada mereka (pemain) segala kemudahan latihan yang lengkap, jurulatih bertaraf dunia dan mereka juga ada Chong Wei (Datuk Lee Chong Wei) untuk berlatih bersama…jadi mereka tiada alasan untuk tidak menjadi pemain bertaraf dunia,” katanya.
Sementara itu, Misbun yang kembali bertugas secara rasmi hari ini selepas hampir tujuh tahun meninggalkan badan induk itu, berkata beliau tidak bercadang merombak sistem latihan sedia ada secara drastik.
Misbun berkata beliau yang dibantu Hendrawan dan Indra Wijaya, berhasrat untuk melakukan pemerhatian sepanjang minggu ini terlebih dahulu sebelum menyusun agenda seterusnya.
“Saya mempunyai sedikit pengalaman serta pengetahuan dan ia memang satu bebanan tetapi saya mengambil ini sebagai cabaran. Saya daripada dulu suka dicabar dan akan sentiasa berusaha mencari jalan keluar,” katanya.
– BERNAMA
Loading...
Demikianlah Artikel Tidak Capai KPI, Pemain Berdepan Penyingkiran
Anda sekarang membaca artikel Tidak Capai KPI, Pemain Berdepan Penyingkiran dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/07/tidak-capai-kpi-pemain-berdepan.html