link : Tingkat Pemantauan Kes Penyakit Anjing Gila Di Kawasan Daerah
Tingkat Pemantauan Kes Penyakit Anjing Gila Di Kawasan Daerah
KKM bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veteriner dan agensi lain berkaitan dalam memastikan jangkitan virus rabies dalam kalangan manusia dapat dikawal dan tiada penularan baru terjadi. (Gambar: news.108jakarta.com)
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan daerah-daerah lain bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia agar meningkatkan pemantauan kes gigitan anjing di daerah masing-masing. KKM juga bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veteriner dan agensi lain berkaitan dalam memastikan jangkitan virus rabies dalam kalangan manusia dapat dikawal dan tiada penularan baru terjadi.
Peringatan tersebut diberikan selepas tiga kes kanak-kanak yang dijangkiti virus rabies atau penyakit anjing gila berlaku di Sarawak baru-baru ini. Buat masa ini, ketiga mangsa masih berada dalam keadaan kritikal.
Bahagian Kawalan Penyakit, KKM menyatakan mereka menerima laporan dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak pada 29 Jun lalu berhubung tiga kes viral encephalitis yang dimasukkan ke wad di Hospital Umum Sarawak (SGH) selepas disyaki dijangkiti virus rabies. Keputusan makmal bagi ketiga kes tersebut yang dikeluarkan semalam menyatakan mangsa adalah positif virus rabies.
MAKLUMAT MANGSA
KKM menyatakan kes pertama membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian yang mengalami demam sejak 5 Jun lalu sebelum mendapat rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Balai Ringin, Serian pada hari sama.
Keadaan mangsa kemudian menjadi semakin tenat dan mengalami kesukaran bernafas selain perubahan tingkah laku, bersifat agresif dan hidrofobia (takut kepada air atau takut minum air). Mangsa dimasukkan ke wad di Hospital Serian pada 8 Jun lalu dan keesokkan harinya dirujuk ke SGH untuk mendapatkan rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi.
Mangsa dipercayai mempunyai sejarah gigitan anjing kira-kira 2 sehingga 3 bulan lalu manakala kes kedua merujuk pada kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun dari lokasi mangsa pertama yang sama. Mangsa adalah kakak kandung kepada mangsa pertama.
Mangsa kedua mengalami demam pada 12 Jun lalu dan pada 14 Jun pula, kes dibawa ke klinik Kesihatan Balai Ringin kerana demam melarat, perubahan tingkahlaku serta agresif. Rawatan selanjutnya ke Hospital Serian pada 15 Jun dan pada hari berikutnya, kes dirujuk ke SGH untuk rawatan lanjut.
Mangsa juga tenat dan dirawat di Unit Rawatan Rapi, SGH. Pihak JKN Sarawak pula sedang berusaha untuk mendapatkan sejarah gigitan anjing pada kanak-kanak ini.
Bagi kes ketiga adalah kanak-kanak perempuan, berusia 7 tahun dari Kampung Lebur, Gedong mengalami demam pada 23 Jun lalu dan keesokan harinya, mangsa mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Serian. Keadaan mangsa semakin merosot dengan perubahan tingkahlaku, bersikap agresif dan hidrofobia.
Pada 28 Jun, mangsa mengalami sawan dan dibawa ke SGH. Keadaannya tenat dan dirawat di Unit Rawatan Rapi, SGH serta mempunyai sejarah gigitan anjing kira-kira sebulan.
LANGKAH PENCEGAHAN
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan semalam menyatakan pihak JKN Sarawak telah melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan ke atas kejadian berkenaan menerusi beberapa langkah berikut:
- pengurusan kes jangkitan rabies
- pengeluaran health alert kepada semua pengamal perubatan
- membuka bilik gerakan untuk memantau kejadian dan menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan wabak
- mengukuhkan aktiviti survelan pemantauan kes gigitan anjing dan haiwan liar
- mengukuhkan pengurusan kes gigitan anjing dan haiwan liar
- menyediakan stockpile vaksin rabies yang mencukupi
- meningkatkan aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan penyakit rabies dan langkah pencegahannya
NASIHAT KKM
KKM menasihati orang awam yang tinggal di daerah Serian khususnya agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan dari dijangkiti penyakit rabies:
- dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika mengalami gigitan anjing peliharaan yang agresif atau anjing liar
- pastikan anjing peliharaan mendapatkan suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak bersama anjing liar
- jika anjing peliharaan didapati tidak sihat atau agresif dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar setempat
- laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal
- sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas kontak dengan anjing peliharaan
Demikianlah Artikel Tingkat Pemantauan Kes Penyakit Anjing Gila Di Kawasan Daerah
Anda sekarang membaca artikel Tingkat Pemantauan Kes Penyakit Anjing Gila Di Kawasan Daerah dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/07/tingkat-pemantauan-kes-penyakit-anjing_2.html