link : Dendangan Dayang terbaik
Dendangan Dayang terbaik
Bagaikan sudah dijangka, lagu Separuh Mati Ku Bercinta nyanyian Dayang Nurfaizah menjadi Lagu Terbaik pada separuh akhir Muzik Muzik 32 untuk minggu kedua yang berlangsung malam kelmarin.
Lagu ciptaan Ajai itu dipilih berdasarkan undian juri profesional iaitu AG Coco, Azmeer, Helen Yap, LY, Edrie Hashim, Pak Ngah dan Datuk Mokhzani.
Walaupun ia belum melayakkan lagu berkenaan untuk bertanding pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 32 yang akan berlangsung Februari tahun depan, ia cukup membuatkan Dayang berdebar.
“Syukur jika lagu ini berjaya ke final nanti. Sejujurnya saya tidak fikir soal itu. Apa yang saya tekankan adalah persembahan saya pada malam separuh akhir.
“Saya memang berdebar dan gugup kerana mahu memberikan yang terbaik seperti yang diharapkan semua orang,” katanya.
Dayang berkata, lagu lain yang dipertandingkan juga tidak kurang hebatnya malah karya dendangan Siti Nordiana dan Ara Johari antara yang paling mencabar.
“Semua lagu ada kelebihan masing-masing. Malah semangat penyanyi baru yang bertanding juga luar biasa dan ia turut menyuntik keyakinan saya untuk buat yang terbaik,” katanya.
Selain Separuh Mati Ku Bercinta, lagu lain yang bertanding pada minggu kedua separuh akhir Muzik Muzik adalah Jangan Pernah Berdusta (Drama Band), Aku Sanggup (Sufi Rashid), Rempuh (Tomok dan Black) dan Jangan Menangis (Aizat Amdan).
Tidak ketinggalan lagu Harus Aku (Sufian Suhaimi), Zalikha (Floor 88), Warkah Untuk Mu (Ara Johari), Permata Cinta (Aiman Tino) dan Terus Mencintai (Siti Nordiana).
Sementara itu, Ara melakukan pelbagai persiapan selepas mengetahui lagu dendangannya, Warkah Untuk Mu terpilih ke separuh akhir.
“Saya kena persiapkan vokal, stamina dan penampilan. Saya berasa sangat teruja.
“Soal berjaya ke final atau tidak, bagi saya itu rezeki dan reda dengan keputusan juri,” katanya.
Ara berkata, dia turut menjadikan Dayang sebagai rujukan kerana meskipun penyanyi itu kelihatan ringkas namun persembahannya sangat menarik.
Dalam pada itu, Aizat yang kali terakhir tampil di pentas AJL menerusi lagu Langit Tetap Biru turut gembira melihat ramai artis baru mara ke separuh akhir.
Katanya lagi, pengalaman pernah bertanding sebelum ini membuatkan dia lebih fokus untuk menghiburkan orang ramai.
“Saya kagum melihat persembahan ramai artis baru. Saya sukakan vokal Ara dan Aiman Tino.
“Persembahan saya malam ini lebih kepada menghiburkan orang ramai. Tidak terfikir untuk bertanding ke final, namun jika sudah tertulis ada rezeki, apa salahnya,” katanya.
Separuh akhir Muzik Muzik 32 minggu terakhir akan diteruskan lagi pada Ahad depan yang akan menyaksikan 10 lagu lagi bertanding.
Malam Anugerah Juara Lagu 32 akan berlangsung pada Februari tahun depan.
The post Dendangan Dayang terbaik appeared first on Berita Viral.
malaysiaway.blogspot.comDemikianlah Artikel Dendangan Dayang terbaik
Anda sekarang membaca artikel Dendangan Dayang terbaik dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/11/dendangan-dayang-terbaik.html