link : Empat dekad sebagai pemuzik
Empat dekad sebagai pemuzik
DATUK Seri Dr Ahmad Nawab, 84, tentunya bukan satu nama yang asing dalam industri seni tanah air, malah tempoh lebih empat dekad bergiat aktif dalam bidang muzik, beliau telah mencipta pelbagai kejayaan dalam dan luar negara.
Anak kelahiran Pulau Pinang ini mula berjinak-jinak dalam dunia muzik ketika berumur 15 tahun daripada bapanya, Nawab Khan, yang juga pemuzik.
Menurut Ahmad Nawab, pada mulanya minatnya untuk berkecimpung dalam bidang muzik tidak mendapat sokongan keluarga kerana kerjaya itu dianggap tiada masa depan dan dipandang rendah masyarakat ketika itu.
Bagaiamanpun, katanya, selepas dipujuk ibunya, bapanya bersetuju mengajarkan muzik selain memperkenalkannya alatan muzik.
“Clarinet adalah antara peralatan muzik terawal yang saya kuasai sebelum selesa bermain saksofon. Bermula dari situ minat saya semakin mendalam kepada muzik dan cuba memajukan diri untuk menjadi seorang pemuzik yang baik,” katanya.
Pada tahun 1940-an, Ahmad Nawab menganggotai kumpulan Pancaragam Majlis Perbandaran Pulau Pinang diikuti kumpulan Pancaragam Polis di Kedah sekali gus memperkenalkannya kepada ramai profesional yang terdiri daripada pemuzik Filipina yang sangat memberi motivasi dalam kerjaya muziknya.
“Ketika ini saya mula bermain saksofon dan membuat persembahan di kelab di sekitar Pulau Pinang dengan beberapa rakan pemuzik lain. Dari situ, saya mula bercita-cita lebih besar dalam bidang ini,” katanya.
Menurut Ahmad Nawab lagi, dia begitu tertarik dengan kata-kata seorang pemimpin orkestra terkenal Amerika Syarikat, Glenn Miller iaitu muzik tidak hanya terbatas kepada kebolehan bermain muzik semata-mata, tetapi merangkumi aspek lain seperti kebolehan mencipta lagu, menyusun muzik dan sebagainya.
“Selain bermain muzik, saya mula berjinak-jinak mencipta lagu. Pada usia 16 tahun, saya berjaya hasilkan lagu pertama, Bintang Malam yang kemudiannya dirakamkan oleh Zaharah Agus (Madu Tiga).
“Bermula dari situlah minat saya untuk menulis lagu semakin tinggi, apatah lagi setelah berhijrah ke Kuala Lumpur. Penghijrahan itu berpunca daripada surat tawaran daripada seorang pemuzik terkenal dari Kuala Lumpur iaitu Ahmad Amin yang menawarkan saya bermain muzik di kelabnya di Bukit Bintang.
“Saya bersetuju kerana mahu memajukan diri selain tahu Kuala Lumpur mempunyai ramai pemuzik handal seperti Alfonso Suliano yang mungkin dapat beri saya peluang untuk menimba pengalaman baru,” katanya yang ketika itu berusia sekitar 20’an.
Penerima anugerah Seniman Negara
Ahmad Nawab juga mempunyai hubungan yang baik dengan P Ramlee, malah beliau diberi penghargaan untuk mencipta lagu untuk seniman agung itu sekitar 1964.
“P Ramlee selalunya tidak akan ambil lagu komposer lain, tetapi entah kenapa dia membuat permintaan itu kepada saya dan saya anggap ia sebagai satu penghargaan terbesar buat saya.
“Antaranya adalah lagu Taman Firdausi untuk filem Masam-Masam Manis, Sesudah Subuh, Nasib Do Re Mi dan lain-lain.
“Malah aksinya bermain saksofon untuk beberapa filemnya juga sebenarnya di mainkan oleh saya secara rakaman, namun ramai yang menyangka dia bermain sendiri kerana beliau adalah seorang pelakon hebat dan sangat meyakinkan,” ujarnya.
Selepas beberapa tahun menimba pengalaman, beliau kemudiannya ditawarkan menyertai Orkestra RTM yang baru ditubuhkan dengan hanya lapan ahli ketika itu,” katanya yang bersama orkestra itu selama 16 tahun sebelum menyertai syarikat rakaman EMI sebagai penerbit dan komposer selain berperanan mencari bakat baru.
“Selepas itu saya berpindah ke syarikat rakaman WEA Music dan masih meneruskan peranan yang sama kerana saya mengetengahkan seberapa ramai pelapis baru untuk industri.
“Alhamdulillah saya berjaya memperkenalkan beberapa nama yang akhirnya berjaya dalam industri muzik seperti Uji Rashid, Hail Amir, Salamiah Hassan, Khatijah Ibrahim, Jamal Abdillah, Ramlah Ram dan lain-lain,” katanya yang kemudiannya menubuhkan syarikat rakamannya sendiri, Nawab Production.
Sehingga kini, beliau mencipta lebih 2,000 lagu dan bergelar penerbit untuk lebih 200 album artis tempatan dan luar negara.
Tidak hanya untuk album, tetapi Ahmad Nawab juga terlibat untuk mencipta lagu dan menggubah muzik untuk lebih 30 filem dari 1960 sehingga 2001.
Mungkin ramai yang tidak tahu, lagu sempena Tahun Melawat Malaysia, Malaysia Truly Asia yang dinyanyikan Khatijah Ibrahim adalah lagu ciptaan beliau.
Lebih membanggakan, lagu tersebut turut dinyanyikan dalam 17 bahasa lain termasuk Perancis, Jerman, Rusia, Itali, Belanda, Sepanyol, Turki, Arab, Korea, Jepun.
“Ketika kecil saya pernah katakan kepada ibu yang saya mahu buat lagu yang akan dinyanyikan sehingga ke peringkat antarabangsa, dan siapa sangka ia menjadi kenyataan,” imbasnya.
Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, Ahmad Nawab dikurniakan dengan pelbagai anugerah sehingga pada kemuncaknya menerima Anugerah Seniman Negara pada tahun 2000 atas segala pencapaian dan sumbangannya kepada industri seni tanah air.
The post Empat dekad sebagai pemuzik appeared first on Berita Viral.
malaysiaway.blogspot.comDemikianlah Artikel Empat dekad sebagai pemuzik
Anda sekarang membaca artikel Empat dekad sebagai pemuzik dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/11/empat-dekad-sebagai-pemuzik.html