link : Diari 2017 Neelofa
Diari 2017 Neelofa
TAHUN 2017 bakal melabuhkan tirainya dengan pelbagai cerita pahit manis yang berlaku dalam industri seni hiburan tanah air.
Seketika kita tinggalkan cerita kontroversi yang begitu sinonim dengan kehidupan seseorang selebriti, sebaliknya kita raikan kejayaan yang mereka cipta sepanjang 2017 ini.
Ternyata tahun ini menjadi milik pengacara, pelakon dan usahawan muda terkenal, Noor Neelofa, 28, yang telah meraih sederetan kejayaan dalam pelbagai bidang yang diceburinya.
Seawal diari 2017 dibuka sehingga ke detik penghujungnya, Neelofa atau lebih mesra disapa sebagai Lofa ini dilihat sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti, malah kerap terbang ke luar negara untuk memenuhi komitmennya.
Merupakan selebriti tempatan yang mempunyai jumlah pengikut Instagram tertinggi setakat ini iaitu 5.3 juta, Lofa juga merupakan pemilik jenama tudung Naelofar Hijab yang kini begitu sukses mencipta nama dan kejayaan.
Pengaruh Lofa juga terbukti apabila tudung dari jenamanya berjaya meraih jualan sehingga RM200 juta untuk tempoh setahun dan jenama ini turut berada di 37 pasaran dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Australia, Arab Saudi dan Brunei.
Pencapaian ini sekali gus meletakkan dirinya sebagai salah seorang usahawan wanita muda paling berjaya untuk tahun ini.
Lebih membanggakan, pada April lalu, Lofa telah tersenarai antara 300 usahawan muda bawah 30 tahun dalam kategori E-Dagangan dan Peruncitan paling berpengaruh di seluruh dunia.
Tidak sekadar itu, Lofa juga menjadi antara 10 individu utama yang ditampilkan dalam majalah terkenal itu seiring dengan nama-nama besar dalam bidang keusahawanan yang lain.
Pada bulan Mei, Lofa merupakan antara 10 individu yang dilantik sebagai kumpulan kedua duta besar bagi Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang turut membuktikan kehebatannya sebagai antara individu berpengaruh.
Sempena Minggu Fesyen Milan yang berlangsung pada 21 September lalu di Milan, Italy, Lofa turut diberi penghormatan sebagai tetamu penting dalam majlis Swarovski Crystal Wonderland yang menyaksikan dirinya menjadi tumpuan dunia.
Antara sejarah yang dicipta Lofa pada tahun ini juga adalah apabila dirinya dipilih sebagai duta jenama kosmatik mewah, Lancome, sekali gus menjadikan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini sebagai wanita muslimah pertama yang menjadi pilihan jenama antarabangsa itu.
Inspirasi buat semua wanita
Tidak berhenti setakat itu, pada bulan yang sama juga Lofa telah terpilih untuk mewakili Malaysia untuk Program Delegasi Belia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan dijemput sebagai salah seorang panel penceramah di Forum Belia Misk-UNDP 2017 yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat.
Terkini, bekas juara Dewi Remaja Edisi 2009-2010 ini melakar satu lagi sejarah apabila syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Berhad mengumumkan pelantikan Lofa sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia Berhad pada 8 Disember lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, pelantikan Neelofa ke dalam ahli lembaga pengarah syarikat tersebut adalah kerana kelebihannya sebagai usahawan, pencipta jenama dan pencetus industri bakal memberi lebih nilai kepada AirAsia.
Sehingga begitu sekali pengiktirafan yang diberikan kepada Lofa dan semestinya sederetan kejayaan ini turut menjadi inspirasi kepada keseluruhan wanita di luar sana, bukan sahaja dalam bidang keusahawanan, tetapi juga dalam pelbagai bidang lain.
“Pencapaian ini bukanlah hanya kejayaan buat diri sendiri, tetapi ia adalah buat semua wanita di luar sana,” ujar Lofa yang bersikap optimis dalam apa sahaja yang diusahakannya.
Meskipun meraih pelbagai kejayaan dalam dan luar negara, Lofa masih lagi dalam kerjaya seninya baik dalam dunia pengacaraan mahupun lakonan.
Sehingga kini, Lofa masih kekal mengacarakan program hiburan popular, MeleTOP bersama Nabil Ahmad, di mana program ini telah memasuki tahun kelima penerbitannya.
Sementara dalam bidang lakonan pula, selepas mencipta fenomena menerusi drama Suri Hati Mr Pilot pada tahun lalu, Lofa kembali beraksi dengan drama terbarunya, Red Velvet yang telah melabuhkan tirai episodnya baru-baru ini.
Meskipun turut terpalit dengan siri kontroversi melibatkan kisah cinta tidak kesampaiannya dengan seorang aktor terkenal, helaian diari 2017 Lofa terisi dengan pelbagai kejayaan yang cukup membanggakan dan menjadi inspirasi buat semua.
BIODATA
NAMA PENUH: Noor Neelofa Mohd Noor
TARIKH LAHIR: 10 Februari 1989
ASAL: Pasir Mas, Kelantan
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Perdagangan Antarabangsa & Pemasaran (Universiti Sunway)
AKTIF BIDANG SENI: 2010 sehingga kini
PENCAPAIAN BIDANG SENI: Heroin Baru Terhebat (Anugerah Blockbuster 2013), Pengacara TV Wanita Popular (Anugerah Bintang Popular 2014, 2015, 2016 & 2017), Bintang Paling Popular (Anugerah Bintang Popular 2016), Hos TV MeleTOP & Top Top MeleTOP Wanita (Anugerah MeleTOP Era 2017) dan Gandingan Serasi Drama (Anugerah Bintang Popular 2017)
The post Diari 2017 Neelofa appeared first on Berita Viral.
malaysiaway.blogspot.comDemikianlah Artikel Diari 2017 Neelofa
Anda sekarang membaca artikel Diari 2017 Neelofa dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2018/01/diari-2017-neelofa.html