link : Ikhwan cari ilmu
Ikhwan cari ilmu
Minat mendalam terhadap sesuatu perkara pasti membuahkan hasil jika disertakan usaha tanpa mengenal lelah.
Itulah yang dibuktikan juara program realiti Hero Oven musim kedua (HO2), Ikhwan.
Ikhwan atau nama sebenarnya Muhammad Ikhwan Mustafar, 26, sebelum ini bukanlah arif dalam bidang masakan pastri, namun kerana minat dia menggali ilmu.
“Saya bekerja di dapur beberapa hotel terkemuka di ibu negara selama lebih empat tahun. Namun, kerja saya lebih kepada masakan Barat dan kalau ada pun pengetahuan dalam bidang pastri, sekadar yang asas saja.
“Dek kerana minat dalam bidang pastri, saya kerap kali mencuri masa untuk melihat rakan yang bekerja dalam bidang itu menyediakan hidangan. Dari situlah saya belajar banyak benda,” katanya.
Berkongsi pengalamannya sepanjang berada dalam program 12 episod itu, Ikhwan berkata, pada awalnya dia berasa kurang yakin berikutan peserta lain lebih berpengalaman daripadanya.
“Sebenarnya saya sekadar mencuba nasib. Apabila peserta lain jauh lebih berpengalaman, saya rasa diri ini sangat kerdil.
“Namun syukur sepanjang pertandingan berlangsung, saya dapat menyiapkan tugasan dan memenuhi citarasa juri,” katanya.
Pengalaman manisnya adalah apabila salah satu hidangan yang dihasilkan iaitu Opera Cake mendapat pujian daripada juri.
“Itu adalah kali pertama saya hasilkan Opera Cake. Alhamdulillah, hasilnya memuaskan dan juri Cef Sarah Ariffin memberitahu kek yang saya hasilkan itu rasanya tepat seperti resipi dalam buku,” katanya.
Cabaran terberat buatnya adalah ketika beraksi di pusingan akhir yang ditayangkan Sabtu lalu dan bertarung dengan seorang lagi peserta, Alex.
“Pusingan akhir paling mencabar kerana saya perlu bersaing dengan diri sendiri. Mana tidaknya, peserta perlu menyiapkan tiga hidangan dalam masa enam jam dan ia bukan mudah.
“Tambahan pula, saya perlu bersaing dengan Alex yang kaya dengan idea menarik dalam menyajikan hidangan manis,” katanya.
Ikhwan juga mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada keluarga terutama isterinya.
“Selain mendapat ilmu sepanjang bekerja, isteri banyak membantu saya.
“Selain itu, keluarga saya juga tidak putus memberikan sokongan ketika menyertai HO2,” katanya.
Selesai HO2, Ikhwan merancang membuka kedai kek selain terus mendalami ilmu dalam bidang itu.
“Saya mahu buka kedai kek yang menggabungkan pastri dan makanan Barat. Saya juga akan terus mengejar ilmu dalam bidang pastri,” katanya.
Menerusi kemenangan itu, Ikhwan membawa pulang trofi, wang tunai RM3,000 dan barangan elektrik.
Selain Ikhwan, pusingan akhir HO2 turut menyaksikan tiga peserta lain iaitu Alex Chai Chee Hung di tempat kedua, Muhammad Adam Mahamed Ismail (ketiga) dan Amir Hamzah Mohamed (keempat).
The post Ikhwan cari ilmu appeared first on Berita Viral.
malaysiaway.blogspot.comDemikianlah Artikel Ikhwan cari ilmu
Anda sekarang membaca artikel Ikhwan cari ilmu dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2018/01/ikhwan-cari-ilmu.html