link : Kerajaan Sasar Bina 77 Loji Rawatan Kumbahan Sehingga 2040
Kerajaan Sasar Bina 77 Loji Rawatan Kumbahan Sehingga 2040
KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan untuk membina 77 loji rawatan kumbahan di seluruh negara sehingga 2040 di bawah Pelan Strategi Pembetungan Negara dengan anggaran peruntukan keseluruhan RM52 bilion.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sehingga kini, 46 loji rawatan kumbahan serantau telah dibina bertujuan untuk terus memelihara kualiti sumber air negara.
Negara ini, katanya, bertuah kerana mempunyai sumber air banyak dengan sebahagian besar daripada sumber air mentah diperoleh daripada 150 batang sungai yang merupakan sumber air mentah utama.
"Bagaimanapun dengan perubahan cuaca global yang tidak menentu dan kemerosotan kualiti air sungai, kini Malaysia berdepan cabaran kekurangan bekalan air mentah," katanya ketika merasmikan Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 serta Taman Rekreasi dan Sukan Pantai, Pantai Eco Park di sini hari ini.
Projek loji rawatan kumbahan itu dimulakan sejak 2011 dan dibangunkan dengan kos RM983 juta.
Menurut Najib, tiga punca utama pencemaran sungai telah dikenal pasti iaitu buangan industri berasaskan pertanian dan pembuatan, kumbahan domestik serta aktiviti penternakan.
Perdana menteri berkata komitmen semua pihak penting bagi merawat semua jenis sisa kumbahan dan sisa industri dengan sempurna dan memastikan sumber air tetap terpelihara daripada pencemaran.
Mengenai Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2, perdana menteri berkata kejayaan pembinaannya membuktikan komitmen kerajaan bukan hanya sekadar retorik politik dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan alam sekitar.
Katanya, loji itu mempunyai kapasiti untuk menampung keperluan 1.42 juta penduduk setara sehingga 2035.
Malah, kata Najib, kapasiti yang tinggi itu mampu membantu pencapaian sasaran kerajaan untuk meningkatkan liputan perkhidmatan pembetungan bagi bandar-bandar utama seluruh negara menjelang 2020.
Beliau berkata loji rawatan kumbahan itu bukan sahaja mengguna pakai teknologi hijau bertaraf dunia, malah merupakan loji bawah tanah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan loji terbesar di rantau Asia Pasifik.
Najib berkata pembinaannya juga sekali gus mengubah persepsi bahawa loji rawatan kumbahan adalah tempat yang kotor, berbau dan kurang menyenangkan.
"Pada hari ini kita semua berkumpul di atas loji rawatan kumbahan yang moden, bersih dan merupakan satu inovasi yang dilaburkan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.
"Tambahan lagi, di bahagian atas loji ini pula bakal digunakan sebagai kawasan rekreasi setempat yang kini dinamakan sebagai Pantai Eco Park.
"Apa yang lebih menarik adalah Pantai Eco Park seluas 12 hektar daripada keseluruhan kawasan loji ini telah dilengkapkan dengan kemudahan seperti pusat komuniti, trek joging, gelanggang futsal, padang bola dan gelanggang permainan lain," kata perdana menteri.
Selain itu, beliau berkata loji seumpama itu mampu mengeluarkan produk sampingan daripada proses rawatan kumbahan iaitu biopepejal, bioefluen atau air sisa terawat dan biogas yang boleh diguna semula melalui pendekatan 'Waste to Wealth'.
"Saya difahamkan bahawa sebahagian air sisa terawat yang dikeluarkan akan digunakan semula bagi tujuan proses rawatan manakala selebihnya untuk mencuci dan membersihkan kawasan serta peralatan di loji ini.
"Pada masa sama, biogas pula akan digunakan untuk menjana tenaga elektrik bagi menyokong operasi loji ini," kata Najib.
Tambah beliau, loji itu juga dilengkapi dengan infrastruktur untuk tujuan menuai air hujan dan tenaga solar.
Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
- BERNAMA
malaysiaway.blogspot.com
Demikianlah Artikel Kerajaan Sasar Bina 77 Loji Rawatan Kumbahan Sehingga 2040
Sekianlah artikel Kerajaan Sasar Bina 77 Loji Rawatan Kumbahan Sehingga 2040 kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Kerajaan Sasar Bina 77 Loji Rawatan Kumbahan Sehingga 2040 dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/05/kerajaan-sasar-bina-77-loji-rawatan.html