link : Ketiadaan Amerika Syarikat Beri Peluang Bagi Pelaksanaan TPP11
Ketiadaan Amerika Syarikat Beri Peluang Bagi Pelaksanaan TPP11
KUALA LUMPUR – Tindakan Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada blok Pakatan Trans-Pasifik (TPP) sebaliknya hanya membuka peluang besar untuk kalangan baki 11 negara yang memeterai dokumen itu memperbaharui peraturan perdagangan domestik dan serantau.
Sebelas negara itu adalah Australia, Brunei, Chile, Kanada, New Zealand, Jepun, Malaysia, Singapura, Mexico, Peru dan Vietnam yang turut bersetuju mempromosikan perjanjian perdagangan bebas dikenali TPP11.
Keputusan dicapai pada Mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-23 di Hanoi baru-baru ini, turut menyaksikan persetujuan mereka untuk memuktamadkan tugas persiapan awal berkaitan menjelang November dalam usaha menyegerakan pelaksanaan perjanjian itu.
Ketika berkongsi pandangannya, Pengarah Eksekutif Pusat Dagangan Asia yang berpejabat di Singapura, Dr Deborah K Elms berkata kelebihan itu jelas bercanggah dengan persepsi ramai bahawa keputusan penarikan diri AS itu hanya mengundang kesan yang memudaratkan ekonomi serta keselamatan 11 negara terbabit atau rantau Asia Pasifik secara amnya.
“AS hanya berperanan kecil dalam TPP. Selain tekstil, kasut dan beberapa produk makanan, pasaran AS secara relatifnya memang bersifat terbuka. Oleh itu, negara-negara di luar AS sememangnya boleh mendapat akses terhadap perkhidmatan, pelaburan, harta intelek dan peraturan kastam.
“Bagaimanapun, TPP banyak membantu 11 negara itu kerana saling memberi manfaat menerusi akses kepada perkhidmatan, perubahan peraturan kastam serta perlindungan kepada IP.
“TPP11 juga akan dapat mengurangkan sekatan perdagangan antara negara-negara yang boleh direalisasikan menerusi pembentukan peraturan dagangan serantau,” katanya kepada Bernama di sesi plenari keempat Sidang Meja Bulat Asia Pasifik Ke-31 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Elms berkata biarpun faedah itu untuk 11 negara terbabit, namun syarikat-syarikat yang berpejabat di AS akan berdepan kesukaran mendapat akses ke pasaran berkenaan, sekali gus mengurangkan tekanan persaingan ke atas syarikat di negara-negara TP11 berkenaan.
Menyentuh isu sekatan dagangan di pasaran farmaseutikal di Vietnam yang mengekang kemasukan produk berjenama ke negara itu, beliau berkata TPP sebaliknya akan membolehkan pengguna negara itu mendapat akses kepada ubat-ubatan itu sama ada AS menyertai atau keluar daripada perjanjian TPP itu.
Elms turut menegaskan, negara-negara TPP juga terlalu menumpukan aspek produk farmaseutikal sedangkan manfaat perjanjian perdagangan itu adalah membuka banyak aspek lain penjagaan kesihatan seperti produk dan perkhidmatan berkaitannya.
Diminta mengulas cabaran dihadapi TPP11, beliau menyifatkan usaha mewujudkan kerangka kawal selia sokongan perjanjian perdangan itu sebagai getir kerana tidak mudah untuk sesetengah negara mematuhi peraturan ditetapkan.
“Sebagai contoh, perkara mengenai kaedah (pelaksanaan) peraturan kastam terhadap TPP. Ini kerana TPP menyatakan anda perlu mengangkut makanan mudah rosak menerusi kastam dalam masa enam jam manakala barangan lain dalam masa 48 jam.
“Ini tidak mudah dan merupakan proses yang amat mencabar untuk negara yang ada banyak pelabuhan. Malah, bukan mudah untuk memastikan semua (pengendali) pintu masuk memastikan prosedur sama dapat dipatuhi,” katanya. – BERNAMA
Loading...
malaysiaway.blogspot.com
Demikianlah Artikel Ketiadaan Amerika Syarikat Beri Peluang Bagi Pelaksanaan TPP11
Anda sekarang membaca artikel Ketiadaan Amerika Syarikat Beri Peluang Bagi Pelaksanaan TPP11 dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/05/ketiadaan-amerika-syarikat-beri-peluang.html