link : Kawanku Ahmoi Guitarist
Kawanku Ahmoi Guitarist
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Jika confession ini terpilih untuk keluar, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak IIUM kerana sudi menyiarkan confession ini. Saya sudah lama membaca kebanyakkan confession yang disiarkan di sini. Tetapi hari ini saya tergerak hati untuk menulis confession di sini mengenai seorang sahabat yang pernah susah dan senang bersama saya.
Semasa saya masih menuntut di sebuah instituti pengajian tinggi tanah air dahulu, saya mempunyai seorang teman rapat berbangsa Cina dan saya selalu memanggilnya Sam ( nama sebenarnya Samantha ). Sam seorang wanita Cina yang lain daripada yang lain. Pertama kali saya berkenalan dengan Sam apabila kami sering terserempak di restoran mamak yang selalu saya kunjungi dan ia berlarutan menjadi sebuah persahabatan dan kemudian memutuskan untuk tinggal bersama.
Mungkin ia kedengaran agak janggal kerana biasanya kebanyakkan orang Cina yang suka muzik lebih meminati mempelajari alat muzik seperti piano atau biola. Tetapi Sam sangat berbeza. Sam mempunyai personalitinya yang tersendiri dan hebat bermain pelbagai jenis gitar. Berilah apa-apa pun jenis gitar, bass, etc, Sam boleh memainkannya dengan baik. Walaupun Sam selalu berpakaian fesyen rock, tetapi ia tidak sama sekali menenggelamkan kecantikan semula jadi yang dimiliki Sam.
Sam bekerja ssebagai guitarist di sebuah pub yang agak terkenal di sekitar ibukota pada waktu malam. Kadang-kadang dia akan bermain gitar di konsert-konsert. Saya dan Sam berdua menyewa sebuah bilik master room. Kami sangat rapat. Walaupun saya berbangsa Melayu dan dia berbangsa Cina, ia tidak menjadi masalah buat kami. Sam juga menghormati saya sebagai orang Islam. Walaupun dia seorang kaki minum dan merokok, tetapi dia tidak pernah minum atau merokok di dalam bilik yang kami sewa. Jika Sam mahu merokok, dia akan keluar rumah dan merokok di koridor. Jika dia mahu minum alkohol, dia hanya akan minum di luar jauh dari rumah tempat kami menyewa.
Saya selalu berasa kagum dengan dia kerana dia seorang yang berani dan tidak pernah teragak-agak untuk buat perkara yang seharusnya dia lakukan. Sam seorang yang ceria, tetapi di sebalik keceriaannya, tersimpan seribu satu kisah luka. Sam sebenarnya berasal dari keluarga yang boleh saya katakan kira berada. Ayah dan ibu Sam adalah doktor pakar. Dua orang abangnya mempunyai jawatan tinggi dalam syarikat tempat mereka bekerja. Sam amat dibenci oleh ayahnya kerana minat Sam terhadap muzik. Kadang-kala saya tidak dapat membayangkan perasaan Sam yang sudah lama tidak menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga.
Sam mempunyai rekod akademik yang cemerlang dan ayahnya menguruskan dia untuk belajar bidang perubatan di luar negara tetapi Sam tidak berminat mempelajari bidang perubatan. Perkara ini menyebabkan Sam dan ayahnya bergaduh besar sehingga ayahnya menghalau Sam keluar dari rumah dan tidak mahu mengaku Sam sebagai anak lagi. Sam membawa diri ke ibukota dan menghadapi susah payah hidup di kota bersendirian.
Bukanlah mudah untuk seorang perempuan hidup di ibukota sendirian bersama gitarnya. Sam melakukan banyak kerja untuk menyara hidupnya. Kadang-kala, dia bermain gitar di tempat terbuka sambil mengharapkan derma orang ramai. Sam juga pernah mengatakan semasa dia tiada tempat tinggal, dia menjadi gelandangan. Pernah satu ketika, dia yang tiada duit berasa lapar dan dia mengambil telur rebus ( kalau tidak silap saya ) yang disimpan dalam tempat penyembahan Cina ( bentuk seperti tokong kecil yang mempunyai tiang ) di tokong untuk dimakan. Malah Sam juga menceritakan pada saya bagaimana dia hanyut dengan cinta seorang lelaki sehingga dia terjerumus dalam kancah pelacuran tetapi nasibnya baik kerana ada seorang lelaki yang melepaskan dia.
Kemudian, dia mendapat kerja sebagai pelayan di bar di pub tetapi tuan punya pub itu menyedari Sam mempunyai bakat bermain gitar lalu dia pun berhenti menjadi pelayan dan ditawarkan kerja sebagai guitarist dalam pub. Begitulah Sam meneruskan kehidupannya di ibu kota.
Suatu hari, dia mendapat tawaran bermain gitar dan bass di luar negara secara professional di USA. Sudah tentu ia merupakan peluang yang baik untuk dia mengambil peluang itu tetapi Sam berat hati untuk meninggalkan saya. Jujurnya saya pun berasa sedih kerana sahabat saya yang paling akrab akan meninggalkan saya. Tetapi, saya memberi dorongan pada dia bahawa jangan pernah sesekali dia melepaskan impiannya. Saya mahu dia melangkah lagi jauh. Akhirnya, selepas beberapa hari Sam pun memutuskan untuk berhijrah ke USA.
Saya masih ingat pada hari saya menghantar Sam ke lapangan terbang, saya sanggup ponteng satu kuliah. Sebelum dia masuk ke balai berlepas, Sam memeluk saya dan memberikan saya ipod music player kesayangannya. Dalam ipod itu ada lagu-lagu gitar yang dia rakamkan di studio milik kawannya. Sam menyuruh saya menyimpan ipod music player tu sebagai tanda kenangan persahabatan kami. Saya pula memberi gelang tangan manik saya pada dia sebagai tukaran ipod music player itu. Sam berpesan supaya jaga diri, rajin belajar dan jangan hampakan harapan keluarga saya yang mahukan saya memegang segulung ijazah.
Pada hari saya menulis confession ini, saya baru sahaja berbual dengan dia yang kini berada di USA melalui WhatsApp video call. Tanpa saya sedari, sudah hampir 4 tahun dia berada di USA dan banyak pencapaian yang dia sudah kecapi. Saya tidak selalu berbual dengan dia, tapi saya mengikuti perkembangannya melalui Facebook dan memang nampak kini Sam lebih gembira dengan kehidupan barunya dan kariernya di USA. Saya pula kini bekerja dalam bidang media.
Buat Sam, awak adalah sahabat saya yang paling istimewa. Saya berharap suatu hari nanti keluarga awak akan terima awak semula. Awak seorang yang baik hati dan selalu bersama saya pada waktu senang dan susah. Saya tidak akan lupakan detik setiap malam apabila saya menyiapkan tugasan, kamu akan bermain gitar dan kadang-kala awak akan memainkan lagu-lagu kesukaan saya. Kadang-kala kita akan menyanyi bersama. Rutin itu adalah antara kenangan indah antara kita berdua. Saya yakin awak akan menjadi seorang yang berjaya dalam bidang yang awak minati di sana. Saya sayang awak Sam.
Ar
Sumber & Kredit: iiumc
malaysiaway.blogspot.comDemikianlah Artikel Kawanku Ahmoi Guitarist
Anda sekarang membaca artikel Kawanku Ahmoi Guitarist dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/07/kawanku-ahmoi-guitarist.html