link : Jangan abaikan pelajar yang dibuang sekolah
Jangan abaikan pelajar yang dibuang sekolah
Imej via Harian Metro |
Ini susulan pendedahan yang dibuat oleh pihak Menteri Pendidikan sendiri baru-baru ini yang menyatakan bahawa tujuh suspek yang terlibat di dalam tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur terdiri daripada mereka yang telah dibuang sekolah disebabkan masalah disiplin.
Seseorang kanak-kanak atau remaja yang telah dibuang sekolah akan menghadapi tekanan hebat dari segi mental dan emosi kerana menganggap diri mereka sudah tiada nilai, tiada masa depan lagi serta dibuang masyarakat sekeliling.
Sekiranya isu ini tidak diatasi dengan baik, semua tanggapan negatif yang wujud di minda kanak-kanak dan golongan remaja ini akan menyebabkan mereka berasa putus asa, kecewa, marah dan lebih teruk lagi akan menyebabkan mereka memberontak dan mudah terjebak dengan aktiviti tidak sihat seperti dadah dan dunia jenayah.
Sekiranya dibiarkan berlaku, sudah pasti akan menjejaskan kehidupan remaja terbabit malah tempiasnya turut memberi kesan kepada kehidupan orang sekeliling seperti dalam kes kebakaran pusat tahfiz tersebut.
Oleh itu, langkah proaktif mesti diambil bagi memastikan setiap pelajar yang dibuang sekolah tidak dibiarkan hanyut dan tercicir sendirian jauh dari arus kehidupan bermasyarakat.
Ibu bapa mereka perlu duduk berbincang dengan anak-anak yang menghadapi masalah ini serta mengenal pasti punca yang menyebabkan mereka dibuang dari sekolah.
Sekiranya masalah terbabit tidak dapat diselesaikan dalam keluarga mereka, libatkan pihak ketiga seperti kaunselor.
Setelah masalah terbabit berjaya diselesaikan, ibu bapa mesti berusaha memastikan anak-anak mereka sambung kembali belajar.
Mereka boleh menghubungi pihak sekolah asal untuk pertimbangkan mengambil kembali remaja tersebut.
Sekiranya tidak berjaya, mereka boleh menghubungi pihak jabatan pendidikan bagi mendapatkan khidmat nasihat mengenai perkara ini.
Mereka juga boleh mempertimbangkan untuk menghantar remaja tersebut sambung belajar di beberapa institusi pendidikan yang ada dalam negara kita seperti sekolah swasta, sekolah latihan dan kemahiran vokasional, ataupun home schooling (sekolah di rumah).
Dalam apa-apa situasi sekali pun, pastikan aspek pendidikan berterusan anak-anak yang telah dibuang sekolah ini tidak dipinggirkan kerana kehidupan mereka masih panjang.
Pihak Kementerian Pendidikan juga perlu menghulurkan segala jenis bantuan yang boleh diberikan bagi membantu pelajar-pelajar dibuang sekolah ini dengan menyediakan saluran alternatif kepada mereka.
Mereka yang telah dibuang sekolah tidak seharusnya dibiarkan terkapai-kapai bersendirian menghadapi segala masalah yang berlaku tanpa bantuan orang dewasa khususnya ibu bapa dan warga pendidik.
Usia mereka masih muda dan rata-ratanya masih tidak memahami erti kehidupan mahupun implikasi atau impak tindakan mereka terhadap diri, keluarga dan orang di sekeliling.
Oleh yang demikian, adalah penting untuk semua pihak membantu golongan berkenaan daripada terus hidup tidak tentu hala setelah dibuang dari sekolah kerana akhirnya bukan sahaja mereka yang merana malahan keluarga dan orang di sekeliling juga mungkin menjadi mangsa.
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia
Demikianlah Artikel Jangan abaikan pelajar yang dibuang sekolah
Sekianlah artikel Jangan abaikan pelajar yang dibuang sekolah kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Jangan abaikan pelajar yang dibuang sekolah dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/09/jangan-abaikan-pelajar-yang-dibuang.html