link : Proton-Geely, Teroka Peluang Rentas Sempadan
Proton-Geely, Teroka Peluang Rentas Sempadan
JOHOR BAHRU – Pakatan strategik Proton Holdings Bhd dengan syarikat dari China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely Holding), dilihat sebagai satu perancangan masa depan yang bersifat merentas sempadan, kata seorang ahli akademik.
Prof Madya Dr L. Nanthakumar dari Jabatan Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Malaysia berkata, meskipun pakatan itu mendapat kritikan pelbagai pihak, ia harus dilakukan bagi kesinambungan syarikat automotif negara.
“Merentasi sempadan maksud saya adalah bukan sahaja memberi fokus penjualan di peringkat domestik iaitu untuk rakyat.
“Kita kena fikir ‘beyond the box’, bermaksud, dengan adanya kerjasama dengan syarikat China ini, kita juga akan seiring dengan mereka untuk memasarkan produk kita ke negara ASEAN dan rantau lain dalamjangka panjang,” katanya dalam satu temu bual di pejabatnya pada Selasa.
Beliau berkata, tiba masanya untuk Proton mengambil peluang menambah baik kualiti serta pemasaran, dan pada masa sama mempertimbangkan permintaan untuk pasaran baharu kereta nasional itu.
Seiring langkah yang diambil Proton itu, vendor tempatan disaran mempertingkatkan kepakaran bagi meraih peluang supaya tidak ketinggalan dalam arus persaingan yang sihat.
“Dengan adanya kerjasama dengan syarikat China ini, saya nampak vendor tempatan berpeluang menembusi pasaran antarabangsa. Kalau dulu mereka banyak menyokong industri automotif tempatan, sudah (sampai) masanya mereka melihat lebih jauh lagi kerana peluang bakal terbuka luas untuk mereka,” katanya.
Beliau berpendapat, Malaysia akan memperoleh manfaat daripada Geely memandangkan kerjasama itu bukan menghapuskan vendor tempatan tetapi membolehkan kewujudan vendor baharu, yang berdaya saing merebut peluang untuk maju ke hadapan.
Tanggapan terhadap vendor tempatan tidak dapat bersaing serta gagal membuktikan kewibawaan dilihat mungkin sebagai pemikiran yang agak sempit, sedangkan kerjasama strategik asing tersebut bakal mewujudkan vendor bertaraf antarabangsa, katanya.
Nanthakumar berkata, Geely mempunyai kepakaran dan teknologi moden yang boleh dipindah ke kilang Proton di Tanjung Malim, Perak selain melihat kemungkinan syarikat China itu berminat membuka kilang mereka di negara ini.
Bagaimanapun, katanya, ramai pihak masih menantikan pelan induk yang dijangka dibentang setelah DRB-Hicom Bhd dan Geely Holdings menandatangani Perjanjian Muktamad pada Julai ini.
“Sekarang ini rakyat keliru, 49 peratus (kepentingan) dijual, kita hanya pegang 51 peratus, jadi Proton harus memberi satu gambaran atau membentangkan pelan induk bagaimana hala tuju Proton dalam masa 10 tahun akan datang, jangka sederhana, jangka panjang, kita kena dapatkan maklum balas daripada Proton dulu,” katanya.
Menurut beliau, penting bagi Proton mengekalkan identitinya sebagai “kereta Malaysia” memandangkan ia dilihat sebagai simbol kebanggaan negara dan sebahagian daripada sejarah dan rekod pencapaian Malaysia yang sangat dibanggakan.
“Supaya tiada orang kata identiti Malaysia hilang kerana Geely, apa-apa berlaku kepada Geely, kita akan terkena tempias, itu Proton kena fikirkan.
“Buat masa ini, saya kurang pasti sama ada Geely akan mengekalkan identiti Malaysia atau menggunakan identiti Geely semasa pemasaran kereta-kereta Proton, itu saya kurang pasti,” katanya.
Justeru itu, Proton Holdings perlu memastikan pelan induk perkongsian strategik asing itu bukan sahaja membuka ruang kepada syarikat China menjadikan Malaysia sebagai platform ke rantau ASEAN malah bagi syarikat automotif negara meraih hasil berlipat ganda.
Dalam masa yang sama, Proton juga perlu memikirkan strategi bagi mengubah pemikiran dan persepsi sesetengah pihak terhadap produk China yang sering dianggap tidak sebaik yang pengguna mahukan.
Nanthakumar berkata, status Proton bakal dilihat bukan sahaja kembali ke era kegemilangan yang dikecapi satu ketika dahulu malah mencorak masa hadapan automotif negara yang lebih berjaya sekiranyacabaran berkenaan berjaya diatasi.
Geely Holding, yang merupakan pemilik Volvo Car Corporation dan The London Taxi Company, mempunyai operasi di seluruh dunia dengan 16 kilang pembuatan, tujuh studio reka bentuk dan lima pusat penyelidikan dan pembangunan. – BERNAMA
Loading...
malaysiaway.blogspot.com
Demikianlah Artikel Proton-Geely, Teroka Peluang Rentas Sempadan
Anda sekarang membaca artikel Proton-Geely, Teroka Peluang Rentas Sempadan dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/05/proton-geely-teroka-peluang-rentas.html