link : Oki buka butik OSD di Bangi
Oki buka butik OSD di Bangi
Bagi mereka yang menyaksikan program Gema Gegar Vaganza (GGV), tentu dapat melihat komen spontan oleh pelakon Indonesia, Oki Setiana Dewi sebagai juri tetap.
Setiap minggu Oki yang dikenali melalui filem Ketika Cinta Bertasbih melontarkan komen berisi dengan nada suara lemah lembut tetapi penuh ketegasan.
Malam ini berakhirlah program yang menghimpunkan penyanyi berunsur ketuhanan dan kemanusiaan dan tiada lagi komen-komen positif daripadanya.
Bagaimanapun, nyata rezeki dan urusan Oki di Malaysia belum berakhir. Dalam diam, anak seni kelahiran Batam, Indonesia pada 13 Januari 1989 ini mempunyai hala tuju baru di sini setiap hujung minggu.
Katanya, peluang mengisi program di Malaysia memang ada dari dulu sejak filem Ketika Cinta Bertasbih dikenali lagi.
“Banyak juga program TV yang meminta saya berada di sini tetapi ketika itu saya belum bersedia kerana banyak projek yang perlu diselesaikan di Indonesia.
“Waktu terus berjalan, selepas itu saya membuka butik OSD. Ternyata ia diterima peminat di Indonesia dan Malaysia. Akhirnya saya mengambil keputusan membuka cawangan kesembilan butik OSD di sini,” katanya.
Tanpa berselindung, peluang mempunyai butik sendiri di Bandar Baru Bangi itu menjadi alasan utama dia menerima tawaran program TV di sini.
Katanya, disebabkan itu juga dia perlu akrab dan membina hubungan dengan teman-teman di Malaysia.
Selain itu, dua program yang berlangsung di Astro Oasis, GGV di mana Oki menjadi juri tetap dan satu lagi program bual bicara, Oki dan Srikandi al-Quran yang bakal disiarkan pada Ramadan ini.
“Saya terima menjadi juri tetap GGV kerana ia program hiburan Islamik unik yang tiada di Indonesia. Ia adalah pengalaman dan ilmu baharu buat saya.
“Unik sebab cara penyampaian dakwahnya berbeza. Di Indonesia, program sebegini belum ada. Andai ada sekali pun, hanya untuk bulan Ramadan sahaja dan sambutannya tidak sehebat GGV,” katanya.
Ditanya sama ada akan membeli hartanah lantas fokus pada bisnes serta program berkaitan di sini, Oki berserah segalanya kepada Allah.
Katanya, setakat ini dia masih mampu mengurus hal di Indonesia pada hari biasa manakala urusan di Malaysia pula sekadar dipenuhi pada hujung minggu.
Istilah penat tidak wujud dalam kamus harian Oki kerana sudah biasa dengan aktiviti berkaitan dari satu negeri ke negeri lain dari dulu.
Katanya, di Indonesia pun dia sendiri sering ‘terbang’ ke negeri-negeri lain untuk urusan dakwah dan bisnes butik.
“Untuk menetap di Malaysia, biar Allah tentukan. Lagipun pada masa ini saya masih lagi mengikuti pengajian peringkat PhD di dua universiti, Pendidikan Islam di Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah dan Pendidikan al-Quran di Perguruan Tinggi Ilmu Al Quran.
“Saya baru dalam tahun pertama pengajian dan untuk kedua-dua pengajian peringkat doktor falsafah yang memerlukan saya membuat kertas kerja dan penyelidikan selama tiga tahun,” katanya.
Mungkin ramai yang tidak tahu Oki pernah menghasilkan lima buku dan novel sebelum berkahwin dengan Ory Vitrio pada 2013 antaranya Hijab I’m In Love dan Melukis Pelangi.
Untuk projek buku seterusnya, Oki akui selepas berkahwin kemudian menyambung pengajian peringkat Sarjana dan kini PhD serta dikurniakan dua anak, penulisan bukan lagi tugas mudah.
“Buku keenam kini dalam proses. Kebetulan saya dapat peluang menyertai projek pertukaran pelajar ke Australia dan menyertai projek mendirikan masjid di Sepanyol. Buku seterusnya berkisar mengenai pengalaman itu dan saya sasarkan siap sebelum akhir tahun ini,” katanya.
Jangan zalimi orang
Melihat jadualnya yang penuh dan kesibukannya sebagai isteri, ibu, pelajar, pengusaha butik, pengacara, penulis buku dan pendakwah, bagaimana cara Oki Setiana Dewi, 28, mengurus situasi sekeliling.
Tentunya ia bukan tugas mudah tetapi kata Oki, sebenarnya hanya perlu fokus. Katanya, kalau sedang menjalani penggambaran, fokus sahaja pada itu.
“Kalau di universiti juga kena fokus, begitu juga dengan anak-anak, saya perlu fokus dan berikan yang terbaik,” katanya.
Ibu kepada Maryam Nusaibah Abdullah, 2, dan Khadeejah Faatimah Abdullah, 1, akui semua pihak perlu ada keutamaan tersendiri.
Katanya, hak mereka tidak boleh diketepikan dan paling penting tidak boleh zalim. Apatah lagi dia bekerja dan berurusan dengan ramai orang, lantas pembahagian masa itu sangat penting.
“Apabila dengan anak pun, kita tidak boleh sibuk dengan hal lain seperti fokus pada telefon bimbit atau hal kerja. Contohnya jadual saya untuk GGV. Pada Sabtu pagi saya akan ke kuliah terlebih dahulu, kemudian jam 3 petang terbang ke Malaysia untuk GGV.
“Esok pagi saya akan pastikan mengambil penerbangan paling awal pulang ke Jakarta. Saya akan bawa anak-anak jika perlu ke luar negara bagi tempoh masa lama,” kata Oki.
Mula berhijab pada 2005, kerjaya seni Oki pernah terhenti seketika sebelum diberi watak utama dalam filem Ketika Cinta Bertasbih pada 2008.
Filem itu juga dilanjutkan sekuelnya kemudian ke TV melalui sinetron Ketika Cinta Bertasbih Spesial Ramadhan dan Ketika Cinta Bertasbih Meraih Ridho Ilahi. Sinetron lain ialah Dari Sujud Ke Sujud dan Anak-Anak Manusia manakala filem terbarunya ialah Demi Cinta.
The post Oki buka butik OSD di Bangi appeared first on Berita Viral.
malaysiaway.blogspot.comDemikianlah Artikel Oki buka butik OSD di Bangi
Anda sekarang membaca artikel Oki buka butik OSD di Bangi dengan alamat link https://malaysiaway.blogspot.com/2017/05/oki-buka-butik-osd-di-bangi.html